Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan lima langkah bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera sebagai menjawab keresahan yang disuarakan oleh orang Melayu dan Bumiputera mengenai masa depan mereka di negara ini.

Katanya, kerajaan mendengar pelbagai rungutan dan rasa tidak puas hati mereka mengenai hala tuju orang Melayu dan Bumiputera yang lantang disuarakan sejak selepas pilihan raya umum yang lalu.

"Atas sokongan dan dokongan yang diberikan oleh orang Melayu dan Bumiputera (kepada Barisan Nasional) pada Pilihan Raya Umum ke-13 baru-baru ini, maka pada hari ini kerajaan memutuskan untuk membuat satu anjakan besar bagi melaksanakan strategi-strategi serta pendekatan-pendekatan yang konkrit lagi tuntas (bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera)," katanya.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam hari ini — institusi yang menjadi simbol kepada perjuangan Melayu dan Bumiputera.

Jelas Perdana Menteri, majlis itu diadakan "demi membela untung nasib orang Melayu dan masyarakat Bumiputera dari dulu kini dan selama-lamanya."

Najib membuka ucapannya dengan merakamkan penghargaan kepada rakyat terutamanya orang Melayu dan Bumiputera yang telah sekali lagi memberi kepercayaan kepada BN untuk menerajui kerajaan.

Dalam PRU-13 yang lalu, BN membentuk kerajaan selepas menang 133 kerusi Parlimen. UMNO sebagai parti tonggak BN pula berjaya menambah sembilan kerusi berbanding yang dimenanginya dalam pilihan raya umum 2008.

Najib menyifatkan kepercayaan orang Melayu dan Bumiputera itu adalah bukti mereka mahukan kerajaan "terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan" demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera.

Najib yang juga Presiden UMNO turut meminta semua pihak supaya sedar bahawa agenda Bumiputera adalah agenda nasional dan tidak ada mana-mana agenda nasional yang boleh mengetepikan agenda Bumiputera.

"Ini kerana jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak dibela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020," katanya.

Mengikut unjuran banci penduduk setakat tahun lepas, orang Melayu dan Bumiputera membentuk 67.9 peratus daripada penduduk negara ini.

Najib menutup ucapannya dengan memberi jaminan kepada orang Melayu dan Bumiputera supaya tidak usah khuatir dengan kesungguhan kerajaan membela naib mereka.

"Usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah gulana kerana selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan, survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila," tegasnya.

Keluh-kesah mengenai nasib dan masa depan sosioekonomi orang Melayu di negara ini mula kuat kedengaran selepas prestasi buruk BN dalam pilihan raya umum 2008 dan sekali lagi selepas ia gagal memperbaiki kedudukan itu pada PRU-13.

Ia ditandai dengan kemunculan badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan kemudiannya gabungan beberapa NGO Islam.