Anda di sini: Laman Utama | Negeri »

Rencam Kota Damansara

comments
Rencam Kota Damansara
PETALING JAYA: Kerusi Dewan Undangan Negeri N39 Kota Damansara antara kerusi tumpuan pada pilihan raya umum kali ini kerana buat pertama kali dalam sejarah kerusi itu, ramai yang jadi calon.

N39 yang terletak di bawah kerusi P107 Parlimen Subang itu menyaksikan persaingan 6 penjuru.

Penyandangnya, Presiden Parti Sosialis Malaysia yang bertanding atas tiket PKR, Dr. Nasir Hashim dicabar calon Barisan Nasional, Halimaton Saadiah Bohan, seorang calon PAS Ridzuan Ismail serta 3 calon bebas.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, tidak semua nama yang disenarai bertanding dikenali peringkat masyarakat.




"Saya pun tidak tahu macam mana nak fikir bila nak mengundi nanti, kerana bukan kita kenal pun," kata pengundi yang juga seorang veteran tentera , Jamaludin Md Yusof.

"Kami tidak tengok calon. Kami pilih ikut parti," kata seorang peniaga yang enggan namanya dikenali.
DUN Kota Damansara juga menjadi cerminan masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat, iaitu kerapuhan hubungan dalam menentukan calon di sini apabila PAS dan PKR sama-sama berebut kerusi itu di sebalik prinsip tahaluf siyasi yang diamalkan.

Namun Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali dalam satu sidang media pada Sabtu (tujuh hari selepas penamaan calon) menegaskan pendirian untuk menyerahkan kerusi itu kepada PKR.

Tinjauan Astro AWANI di kawasan berkenaan mendapati pengundi di kawasan itu hanya mengenali dua sosok daripada enam senarai calon yang bertanding iaitu Dr. Nasir (PKR) dan Halimaton (BN).

Kota Damansara merupakan sebuah bandar yang diapit dua bandaraya utama negeri Selangor, Shah Alam dan Petaling Jaya. Lebih 56 peratus daripada keseluruhan hampir 45,000 pemilih adalah pengundi Melayu.

"Kami akan pilih calon yang kami kenal dan sentiasa turun berjumpa. Wakil rakyat penggal lepas, jarang turun. Sekarang kami akan pilih berdasarkan prestasi Perdana Menteri," kata Jamiahton Ali Imran yang tinggal di kawasan flat.

Berdasarkan kepada tinjauan, kawasan yang didiami golongan kelas menengah dan atas lebih cenderung melihat isu-isu nasional dalam membuat keputusan. Isu-isu ketelusan dan integriti di dalam sistem kerajaan terus mendominasi pemikiran mereka.

Selain itu, 'sentuhan' terus pemerintah peringkat pusat berhubung pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) yang merangkumi kawasan Kota Damansara nyata memberi kelebihan buat Barisan Nasional.

Penduduk rata-rata mengakui ia membawa kebaikan serta memudahkan urusan harian terutama kepada mereka yang bekerja di ibu kota.

Segmen masyarakat yang pelbagai daripada pekerja kilang, kakitangan swasta, suri rumah, peniaga hinggalah tokoh-tokoh korporat elit menginap di dalam kawasan ini. Kerencaman landskap sosial menjadi cabaran kepada tokoh-tokoh yang bertanding untuk menghidangkan janji-janji agar memenuhi aspirasi pengundi.

Disebalik arus pembangunan yang pantas, tinjauan Astro AWANI sekitar Kampung Subang mendapati masih ada golongan yang menjadi mangsa 'janji politik' baik blok pemerintah mahupun pembangkang.

Kawasan rumah panjang Kampung Bunga Raya yang didiami penduduk majoriti masyarakat India yang dahulunya tinggal di dalam sebuah estet. 20 tahun lalu mereka berpindah ke kampung berkenaan dengan janji hanya untuk sementara sahaja.

Namun dua dekad sudah berlalu, mereka terus menanam harapan untuk mendapat rumah baru. Malahan janji 2008 oleh Pakatan Rakyat juga tenggelam di dalam arus kesibukan berpolitik.

"Mana-mana parti pun sama. Ini kali saya undi siapa yang laksana janji bagi rumah dan saya akan undi parti itu sampai bila-bila," kata Janaki N. Chitra yang menetap di kawasan yang daif itu.

Cabaran kepada bakal wakil rakyat di sini ialah memahami arus kemodenan yang dibawa serta menjadi pemudah cara kepada masyarakat.

Terletak di dalam lingkaran segitiga emas negeri Selangor, bukan tugas mudah dalam memberi khidmat kepada segmen masyarakat di Kota Damansara yang berbeza kehendak dan aspirasi.

Dr Nasir (PKR) menang kerusi itu pada 2008 mengalahkan calon BN Datuk Zein Isma Ismail dengan majoriti 1,075 undi

Untuk menonton banyak lagi program Astro terkini, layari Astro on the Go http://onthego.astro.com.my

Tag: kota damansara, pru13, Dr. Nasir Hashim

 
live Saksikan Awani

Keputusan

Kami ingin mendengar buah fikiran anda. Pandangan anda kami hargai.