Sempena Aidilfitri, penulis buku Dari Tanjung Malim Ke KLCC terbitan Dubook Press, Fdaus Ahmad berkongsi tip untuk berhari raya di rumah mertua bagi menantu lelaki.

Tip ini dimuat naik di laman Facebooknya yang setakat ini mencatat lebih 10 ribu likes dan lebih empat ribu perkongsian.

Selamat mencuba!

1. Belikan buah tangan

Ini perkara asas, sebaiknya pakaian seperti kain, baju, atau tudung. Kalau ada yang anda belikan untuk ibu anda, belikan yang sama untuk mertua juga.

2. Hanya membantu di dapur

Pilih satu tempat di dapur, misalnya tugas memotong dan menyiang bahan masakan. Tidak kiralah sehandal mana pun anda memasak, elakkan memasak menu utama hari raya.

Ingatlah, itu rumah mertua anda. Sudah puluhan tahun dia memasak untuk hari raya. Lebih baik jika air tangannya tidak diganggu.

3. Sabar dalam suasana panas

Terutamanya bagi yang bertudung, pulang ke kampung mungkin mencabar dengan cuaca panas, kipas usang, dan tidur di ruang tamu yang menyebabkan rambut berbau.

Anda perlu kekal tenang. Biasalah berkumpul adik-beradik. Tidak perlu merungut. Adat pulang ke kampung, takkan mahu diusung pendingin hawa dari rumah anda di bandar?

4. Ilmu busana wanita

Lengkapkan diri anda dengan pengetahuan busana. Hal ini berguna apabila anda berbual dengan ipar duai dan anak saudara remaja.

Jangan sampai anda hanya ternganga saat mereka berbual tentang butik, jenama, dan trend bunga dokoh. Apabila anda tahu, lebih mudah rapat dengan mereka.

5. Cari tugas mudah

Pasti ada tugas mudah yang sentiasa diperlukan semasa hari raya. Misalnya membancuh air dan mengisi semula bekas kuih. Anda akan dilihat konsisten membantu sepanjang hari raya walaupun tugas mudah.

6. Pagi bersama mertua

Bangun awal dan jengahlah dapur untuk bersama ibu mertua. Anda tidak perlu bergegas menyediakan sarapan. Cukup dengan menyediakan minuman panas dan panggil suami ke dapur untuk bersarapan.

7. Menangkan ibu mertua

Anda mahu ke rumah X bersama suami. Ibu mertua anda pula mahu ke rumah Y bersama suami anda. Apa yang anda perlu lakukan?
Beralah sahaja. Hari raya mungkin satu-satu masa yang ibu mertua anda ada dengan anak lelakinya.

Janganlah bermasam muka kerana ini akan menjadikan suami anda serba salah dan mewujudkan suasana keruh dengan mertua.

Bayangkan kelak anda sudah tua dan anak-anak pulang berhari raya. Pasti anda mahu anak jadi peneman.

8. Elakkan merungut

Andai ada menantu lain yang malas atau bersikap buruk, tidak perlulah anda merungut. Biarlah biras lain mahu merungut namun anda tidak perlu berpihak kepada sesiapa.

9. Berbual dan beri perhatian

Jika anda lihat ibu mertua keseorangan mengerjakan sesuatu, temankan dia. Kadangkala dia tidak perlukan pertolongan pun, hanya mahu teman berbual yang memberikan perhatian.

10. Didik anak berkongsi

Jika anak anda bermain dengan sepupu mereka dan mereka berebut mainan, anda boleh masuk campur namun ajarlah mereka berkongsi atau beralah. Tidak perlu tegas menyokong anak anda. Pamerkan toleransi.