Malaysia bakal menerima sekitar 250,000 pelancong dari China sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina kali ini, kata presiden Persatuan Pelancong Dalam Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis.

Beliau berkata, angka itu berdasarkan jumlah visa yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Malaysia di China iaitu sebanyak 327,000 untuk rakyat negara itu, bermula semalam sehingga sambutan hari Chap Goh Meh pada awal Mac ini.

“Pada mulanya saya menjangka kita akan menerima 200 ribu pelancong China sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina ini, tapi ejen kita memaklumkan angka itu lebih.

“Saya rasa amat teruja dan saya berharap kita rakyat Malaysia dapat menjadi lebih ‘friendly’ (mesra) dalam menerima kedatangan mereka kerana ini merupakan satu ‘injection’ (suntikan) untuk ekonomi, dan ia merupakan lonjakan yang cukup positif dalam industry ini,” katanya kepada sidang media selepas program Persembahan Tarian Singa anjuran MITA di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Buat masa kini, katanya lagi, MITA mempunyai sekitar 4,000 pemandu pelancong yang mampu berbahasa Mandarin, dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengeluarkan lesen sementara bagi menambah bilangan pemandu pelancong dalam usaha menerima kemasukan lebih ramai pelancong China.

Terdahulu, pelancong asing termasuk rakyat Malaysia yang beriadah di Dataran Merdeka telah disajikan persembahan tarian singa, dan mereka juga turut menerima limau mandarin dan ‘ang pow’ daripada MITA.