60 kanak-kanak OKU dari seluruh negara berkumpul dalam satu kejohanan seni mempertahankan diri, Taekwondo di Oasis Village di sini, pada Ahad.

Acara yang julung kali di adakan di Malaysia, dianjurkan oleh SEN Master Academy dengan kerjasama CSK Taekwon-Do itu adalah bagi memberi peluang kepada kanak-kanak istimewa ini pengalaman untuk menyertai kejohanan Taekwondo secara formal.

Menurut Ketua Jurulatih SEN Master Academy, Master Mohd Khaldun Redza, acara kejohanan seperti ini dilihat mampu meningkat keyakinan, sekali gus memacu perkembangan kanak-kanak ini.

“Tidak kira apa sahaja kondisi mereka, kejohanan yang diadakan kali diharap dapat meningkatkan keyakinan untuk mereka mengambil bahagian dalam kejohanan peringkat antarabangsa.

“Ia juga satu acara yang masih kurang dapat sambutan di negara ini, kerana kebanyakan kejohanan Taekwondo lain tumpu kepada pelajar yang biasa,” kata Master Mohd Khaldun.

Mengulas lanjut, beliau berharap acara seperti ini dapat diteruskan dan lebih ramai golongan istimewa akan mengambil bahagian pada masa akan datang.

Acara ini menyaksikan peserta kelainan upaya yang menghidapi pelbagai sindrom seperti Asperger, ADHD, Down Sindrom, Microsefali, Dyslexia.

Pada acara itu, terdapat kira-kira 200 peserta lain dari 150 sekolah dan akademi Taekwondo seluruh Malaysia turut bertanding dalam kejohanan yang diadili oleh pihak Chan Hun International Taekwon-Do Federation.