7 sahabat karib beli rumah agam untuk habiskan sisa hidup selepas bersara

7 sahabat karib beli rumah agam untuk habiskan sisa hidup selepas bersara
Rumah agam tiga setengah tingkat yang terletak di tengah-tengah sawah padi mempunyai sebuah ruang berkongsi di tingkat bawah manakala bilik-bilik tidur tujuh sekawan itu terletak di tingkat atas.- Gambar Youtube @yitiaotv
BERMULA dengan gurauan, tujuh rakan karib akhirnya menjadikan jenaka mereka untuk memiliki rumah persaraan sebagai kenyataan.

Dengan pelaburan sebanyak AS$584,000 (RM2.4 juta), ketujuh-tujuh wanita itu sudah menyiapkan sebuah rumah agam yang akan dijadikan tempat mereka berhimpun selepas bersara.

Bahkan, di rumah tiga setengah tingkat itu juga kesemua mereka mahu menghabiskan sisa hidup bersama.

“[Pada mulanya] kami hanya sekadar bergurau,” kata rakan-rakan karib tersebut dalam sebuah video Youtube yang dimuat naik syarikat media Yitiao.

Video tersebut memaparkan rumah baru mereka di Guangzhou yang berukuran 7,535 kaki persegi itu.
“Kami [telah berjanji] akan hidup bersama apabila mencapai usia 60 setelah bersara,” kata salah seorang daripada mereka.



Sedekad selepas peristiwa itu, tujuh sekawan itu merealisasikan impian tersebut dengan mengumpul wang demi membangunkan rumah agam itu yang asalnya merupakan sebuah rumah usang yang terletak di kawasan pinggir bandar Guangzhou.

Persahabatan wanita-wanita tersebut bermula lebih 20 tahun lalu di tempat kerja mereka.

“Pada asalnya kami hanya teman sekerja, namun sekarang kami lebih rapat berbanding adik beradik,” kata mereka lagi berkongsi sejarah perkenalan.

Rumah tiga tingkat separuh itu terletak di tengah-tengah sawah padi dan mempunyai sebuah ruang berkongsi di tingkat bawah manakala bilik-bilik tidur mereka terletak di tingkat atas.



Kediaman mewah itu turut menerima sentuhan hiasan dalaman yang menawan termasuk hamparan tikar tatami, perabot dari India dan Maghribi selain sebuah meja makan panjang.

Di luar rumah pula terdapat sebuah kolam renang dan sebuah astaka khas yang disambungkan kepada rumah itu dengan sebuah laluan yang diperbuat daripada buluh.

“Kami mungkin akan masak bersama, barbeku di tepi sawah, menyanyi dan dapatkan makanan di kampung berdekatan,” kata mereka lagi.

“Kami pernah berseloroh bahawa setiap seorang daripada kami patut berlatih secara khusus dalam satu kemahiran agar tidak berlaku pergaduhan dan saling melengkapi.. ada yang pandai memasak, yang pandai berubat, yang bermain muzik dan tanam sayur.”


Tag: Guangzhou, China, rakan karib, persaraan, wanita, impian, 7 sahabat karib beli rumah agam


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.