Adakah #SheTalksGames mampu pecah stereotaip wanita dalam industri 'game'?

|

Dalam industri permainan video, wanita berdepan dengan prejudis dan stereotaip yang menghalang mereka untuk maju dalam bidang ini. Facebook berharap dengan kempen #SheTalksGames dapat memperkasakan peranan dan penglibatan wanita dalam industri ini.

BAGI memperkasakan peranan dan penglibatan wanita dalam industri permainan video, syarikat gergasi media sosial, Facebook baru-baru ini memperkenalkan kempen #SheTalksGames.

Ketua Pegawai Operasi Facebook, Sheryl Sandberg berkata kempen tersebut adalah bagi menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang permainan video.

Katanya, setakat ini hanya 23 peratus golongan wanita terlibat dalam industri pembangunan permainan video, menurut laporan Pertubuhan Pembangun Permainan Video Antarabangsa (IGDA) 2017.

“Dalam industri permainan video, wanita berdepan dengan prejudis dan stereotaip yang menghalang mereka untuk maju dalam bidang ini.

“Mereka turut menjadi sasaran dalam talian yang dilihat semakin sukar untuk meyakinan golongan wanita muda untuk menceburi industri yang penuh dengan peluang ini,” katanya menerusi sebuah video kempen #SheTalksGames.

Jelas Sandberg, kempen #SheTalksGames adalah untuk membentuk komuniti global bagi wanita untuk berkongsikan cerita, cabaran dan harapan mereka dalam industri ini.

Beliau berkata wanita memainkan peranan penting dalam industri permainan video.

“Karakter-karakter hero wanita dalam permainan turut memainkan peranan penting seperti Tracer dari Overwatch, Aloy dari Horizon Zero Dawn dan Chloe serta Nadine dari Uncharted yang ditonjolkan sebagai teraju utama permainan video,” kata Sandberg.

Menerusi #SheTalksGames, Facebook turut memaparkan beberapa cerita inspirasi daripada golongan wanita yang bekerja dalam industri permainan video.

Misi Facebook adalah untuk menemu ramah 100 wanita dalam industri ini, bagi berkongsikan pengalaman dan pandangan mereka.
Outbrain