MENYERTAI alumni sekolah adalah salah satu cara untuk bekas-bekas pelajar memberi khidmat dan membantu generasi kini memperoleh kejayaan pada masa hadapan.

Komuniti bekas-bekas pelajar yang besar mampu memberi impak positif terhadap sesebuah sekolah.
Alumni Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) yang dikenali sebagai ASTI merupakan satu contoh pembangunan persatuan alumni yang berjaya.

Dengan memanfaatkan media sosial, ASTI aktif mempromosikan aktiviti-aktiviti alumni yang telah dijalankan sejak tahun 2015 sehingga kini.

Komitmen ahli-ahli ASTI telah menyumbang kepada aktiviti-aktiviti tahunan alumni yang telah dijalankan dengan jayanya.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah Kejohanan Bowling Amal 2015, Kejohanan Futsal Tertutup 2016, Kejohanan Bowling Tertutup 2017, dan baru-baru ini, ASTI telah menganjurkan Kejohanan Futsal dan Bola Jaring 2018 pada Sabtu lalu di Uptown Sport, Bangi.

ASTI telah berjaya menganjurkan Kejohanan Futsal dan Bola Jaring 2018 di Uptown Sports, Bangi, Sabtu lalu. - @Facebook/Malida Mior Alhadi

Aktiviti-aktiviti seperti ini pasti dapat memastikan penyertaan aktif ahli-ahli persatuan dan merupakan saluran untuk bekas-bekas pelajar menyumbang kepada sekolah melalui yuran penyertaan yang dibayar.

Di samping aktiviti-aktiviti tahunan, ASTI turut menjalankan penjualan kad keahlian ASTI dan juga jualan lot waqaf kepada alumni untuk menambah baik prasarana sekolah berasrama penuh itu.

“Penghidupan” persatuan melalui aktiviti-aktiviti tahunan seperti ini boleh memastikan sumbangan kepada sekolah dapat dikumpul secara konsisten dan mampu membantu menjana kecemerlangan sekolah.