KETIKA dunia dilanda pandemik COVID-19, isu kebersihan dan kesihatan tentunya menjadi keutamaan kita.

Timbul kebimbangan untuk berada di kawasan yang sesak, apa lagi menggunakan fasiliti yang turut diguna orang lain, seperti tandas awam.

Tidak kira apa pun situasi, kunci kebersihan dan keselamatan tetap sama, iaitu memakai topeng mulut serta kerap membasuh tangan apabila berada di luar rumah.

Tetapi jika terpaksa, amalkan langkah-langkah di bawah bagi membantu mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

1. Paling utama, cuba elakkan penggunaan tandas awam jika tidak terdesak. Jika mahu keluar rumah, sebaiknya kawal pengambilan air.

2. Cuba cari tandas awam yang berkeluasan besar dengan banyak stall (ruang membuang air) kerana ia mempunyai peredaran udara yang lebih baik.

3. Sekiranya ada orang lain baru keluar dari tandas tersebut, cuba tunggu sekurang-kurangnya 60 saat sebelum masuk.

4. Lupakan soal meletakkan alas atau pelapik di atas rim tandas duduk. Ia hanya akan membawa risiko lain seperti kontaminasi jika anda menyentuh pelapik itu.

5. Sekiranya tandas duduk itu mempunyai penutup, turunkan penutup sebelum flush kerana ia membantu mengelak penyebaran toilet plume.

6. Elakkan mengeringkan tangan menggunakan tuala yang dikongsi atau dipakai semula. Sebaiknya gunakan tisu atau mesin pengering.

7. Keluar dari tandas secepat mungkin. Jangan ambil masa untuk berbual (atau merokok!) di dalam tandas. Jangan lupa gunakan hand sanitizer selepas itu, terutama jika ada memegang tombol pintu tandas.