Jika anda tergolong dalam golongan individu yang kurang gemar jogging, ini mungkin berita baik.

Satu kajian mendapati aktiviti angkat beban, atau weight lifting, lebih sihat bagi jantung berbanding berjalan atau berlari.

Kajian yang dibuat Universiti St.George di Grenada itu menganalisis faktor risiko kardiovaskular, antaranya tekanan darah tinggi, dan membandingkannya dengan tabiat bersenam 4,086 individu dewasa di Amerika Syarikat. Ia menggunakan data daripada Kajian Kesihatan dan Pemakanan Kesihatan 2005-2006.

Kajian ini melihat hubungan bersenam secara umum, serta bersenam dalam dua jenis aktiviti berbeza, iaitu statik (latihan kekuatan) dan aktiviti dinamik (seperti berjalan).

Para penyelidik mendapati mereka yang melakukan salah satu aktiviti mempunyai 30 hingga 70 peratus risiko penyakit kardiovaskular lebih rendah, tetapi peratusan lebih rendah dicatatkan dalam kalangan mereka yang melakukan aktiviti statik.

"Latihan kekuatan dan aktiviti aerobik berkesan untuk mendapatkan jantung sihat. Walaubagaimanapun, aktiviti statik dilihat lebih bermanfaat daripada aktiviti dinamik.

"Pesakit yang melakukan kedua-dua jenis aktiviti fizikal lebih baik daripada pesakit yang hanya meningkatkan tahap satu jenis aktiviti," kata Maia P. Smith, ahli epidemiologi statistik dan pembantu profesor di Universiti St. George seperti yang dipetik portal Medical News Today.

Kajian itu turut mendapati aktiviti statik dan dinamik mempunyai tarikan yang sama bagi golongan berusia dan muda.

"Saya percaya dapatan ini memberi pilihan kepada doktor untuk memberi nasihat kepada pesakit, terutama bagi pesakit yang lebih tua. Yang penting adalah memastikan mereka melakukan aktiviti fizikal," kata Smith.