Berapakah purata masa yang anda luangkan di media sosial setiap hari? Bagaimana ia mempengaruhi corak kehidupan anda?

Kalau anda seperti Irfa Nuraiha, mungkin dalam masa sehari purata masa tiga jam dihabiskan melayari platform itu.

Facebook dan Twitter sering digunakan anak kelahiran Kota Belud, Sabah ini, untuk membaca pautan berita dan isu-isu semasa.

Manakala Instagram pula digunakan untuk berkongsi gambar dan video, serta WhatsApp untuk berhubung dengan rakan-rakan.

Jika anda seperti Irfa, anda adalah antara kira-kira 1.5 juta pengguna Facebook yang aktif di Sabah.

Daripada keseluruhannya pengguna platform media sosial ini didapati 98 peratus menggunakannya menerusi telefon pintar.



Apa 'urang Sabah' suka di Facebook?

Jika dilakukan carian mudah menerusi Facebook Insights, dapat dilihat senarai tajuk mengikuti kategori yang paling disukai penduduk Sabah berdasarkan "page likes".

Contohnya kedai perabot Sabah DIY, stesen radio Kupi Kupi FM dan ERA Sabah serta pusat-pusat membeli belah seperti Center Point Sabah dan Suria Sabah.

Isu pengangguran turut mendapat tempat terutamanya dalam kalangan golongan muda apabila laman web Kerja Kosong Negeri Sabah 2017-2018 antara page yang diikuti ramai pengguna Sabah.




Namun menariknya adalah ahli politik yang jadi tumpuan di Sabah ketika ini adalah Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah Darrell Leiking yang menduduki tempat kelima jumlah page likes terbanyak iaitu 66,000 likes di page Facebooknya.






Siapa pengguna Facebook di Sabah?

Demografi pengguna Facebook di Sabah terdiri daripada golongan berusia 25 hingga 34 tahun, dikuti 18 hingga 24 tahun (sekitar 32-37 peratus)

Pengguna berusia 35 hingga 44 tahun bagaimanapun hanya kurang daripada 20 peratus.

Secara keseluruhan jumlah pengguna Facebook terdiri daripada 54 peratus lelaki dan 46 peratus wanita.

Selain itu, pengguna Sabah juga lebih cenderung menggunakan Bahasa Malaysia di Facebook di mana ia mewakili 79 peratus pengguna Facebook jauh lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain.

Apa yang nyata tanggapan bahawa orang Sabah kurang 'celik' media sosial ternyata meleset sama sekali.

Malah kawasan pedalaman hingga ke Tulid, Keningau, penduduk kampung juga ada Facebook!





PRU media sosial

Antara ahli politik Sabah yang secara kerap dan konsisten menggunakan Twitter untuk mewar-warkan pandangan adalah pemilik akaun Twitter @mpkotabelud Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau yang juga Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah mempunyai kira-kira 128,000 pengikut atau "followers" di Twitter.

Selain itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun juga aktif di media sosial sering memuat naik gambar di Instagram bagi berkongsi rutin sehariannya.

Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bakal tiba nanti, seorang lagi susuk politik yang makin agresif menggunakan media sosial adalah Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Platform Facebook Live selalu digunakan setiap kali beliau berucap pada sesuatu majlis selain digunakan sebagai membentangkan hujah-hujah politik untuk meyakinkan pengundi.

Mahu atau tidak, media sosial bakal menjadi faktor penentu dalam pilihan raya umum terutamanya isu politik dan kempen-kempen politik kini lebih banyak bergantung kepada media sosial.