SELEPAS Singapura menjadi negara pertama di dunia untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu, kini giliran Australia untuk menguji sistem perkhidmatan bas tanpa pemandu.

Memetik laporan Mashable, bas elektrik yang dikenali sebagai RAC Intellibus sedang melalui tempoh percubaan di Perth.

Ia meliputi laluan sepanjang 2.5KM dan mengambil masa 20 minit untuk membuat satu pusingan.

Bas ini mempunyai kelajuan maksimum 45km/h namun akan bergerak dengan kelajuan 20km/h sahaja.

Bas RAC Intellibus mempunyai kelajuan maksimum 45km/h. -Gambar: YouTube/WA Government News

Menurut Pengurus Besar Eksekutif Royal Automobile Club of Western Australia (RAC) Patrick Walker kawasan yang dikenali sebagai South Perth Esplanade dipilih kerana walaupun ia merupakan laluan yang sibuk, ia tidak banyak kenderaan yang dipandu dengan laju.

“Ia satu laluan yang mempunyai tempat letak kereta, penjalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan lain.

“Kami perlukan laluan yang kompleks, namun masih realistik dan bersesuaian untuk tempoh ujian pertama ini,” katanya kepada Mashable.


Untuk tempoh ini, pengguna boleh mendaftar untuk mencuba perkhidmatan bas ini.

Bas ini menawarkan 11 tempat duduk dan ada ruang untuk empat orang berdiri namun tiada penumpang dibenarkan berdiri ketika tempoh ujian ini.