BERPUASA di luar negara merupakan pengalaman berbeza buat umat Islam yang sudah biasa menunaikan ibadah itu di negara ini.

Namun begitu, timbul persoalan bagaimana menunaikan ibadah berkenaan di negara yang siangnya lebih panjang berbanding di sini, yang mungkin ada beranggapan ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan.

Berkenaan hukum berpuasa di negara yang siangnya panjang, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan dalam satu kenyataan, Islam agama yang mudah, bahkan ALLAH tidak akan memberatkan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggungnya.

Mengambil contoh seorang rakyat Malaysia berada di Norway, yang mana siangnya panjang iaitu 19 jam setengah, sama ada wajib meneruskan ibadah berkenaan, atau terdapat kelonggaran waktu tepat untuk berbuka puasa.

"Terdapat dua pandangan bila berdepan dengan situasi ini. Dalam pandangan pertama, walaupun waktu siang di negara tersebut menjangkau 19 jam, tetapi waktu berpuasa tetap bermula dari terbit matahari sehinggalah terbenamnya matahari mengikut waktu di negara itu.

"Walaupun siangnya panjang, namun siang dan malam tetap dapat dibezakan dalam tempoh 24 jam. Jadi dia perlu berpuasa seperti biasa bermula terbit matahari sehinggalah terbenam matahari. Ini berdasarkan kepada al-Quran dan hadis yang menyatakan waktu solat itu ada yang ditunaikan pada waktu siang dan ada ditunaikan pada waktu malam," katanya.

Qiyas waktu berbuka

Manakala dalam pandangan kedua, Dr Zulkifli menjelaskan, situasi tersebut dipanggil 'cacatnya alamat', di mana siangnya panjang lebih daripada kebiasaan di sebahagian negara.

"Dalam keadaan ini, mereka boleh menqiyaskan (ukuran di antara sesuatu tempat dengan tempat lain) waktu berbuka kepada mana-mana dua kawasan ini.

"Sama ada mengikut kota suci Makkah ataupun negara terdekat siang dan malamnya mempunyai tempoh waktu sama," katanya.

Menurutnya, pandangan kedua lebih diterima kerana ia dikatakan menepati maqasid Syara' iaitu memberi keringanan kepada mereka yang terpaksa berpuasa lebih dari 19 jam.

"Sebagaimana firman ALLAH dalam surah al-Haj ayat 78 yang bermaksud: Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama," katanya.

Dalam kenyataan tersebut, Dr Zulkifli turut memetik kata-kata Sheikh Mustafa al-Zarqa':

"Yang paling penting adalah menjaga maqasid syariat dalam menentukan waktu solat dan juga waktu berpuasa agar ia tidak menjadi satu taklifan yang tidak mampu dilakukan. Dan juga menyerlahkan maksud syariat itu tanpa ada pengurangan padanya," jelasnya.