DALAM keadaan ekonomi yang kurang ideal kini, pengurusan kewangan yang strategik bagi keluarga kelas pertengahan menjadi penting dalam menjamin masa depan mereka.

Bagi personaliti televisyen Nazrudin Habibur Rahman, atau lebih dikenali sebagai Naz, beliau mementingkan pemilikan aset tanpa meningkatkan liabiliti yang ditanggung keluarga.

Dengan kata lain, bapa kepada tiga orang cahaya mata meletakkan keutamaan kepada pembelian aset tetapi pada masa sama mengurangkan tanggungan hutang.

"Langkah ini penting bagi kami supaya menjelang umur pertengahan 40-an, insyaAllah kami dapat mencapai financial freedom," kata beliau ketika ditemuramah Astro AWANI di rumahnya baru-baru ini.

Menurut beliau, 'kebebasan' yang tercapai ini penting supaya segala pendapatan mereka selepas itu boleh digunakan untuk perbelanjaan anak-anak.

"Kami mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Jadi adalah penting bagi perancangan awal dilakukan untuk menjamin masa depan mereka," kata Naz.

Mencapai 'financial freedom'

Pendapat tersebut turut dikongsi isteri beliau, Sheahnee Iman Lee yang menyatakan ini merupakan langkah terbaik bagi keluarga mereka memandangkan sumber pendapatan mereka yang tidak tetap setiap bulan.

"Bagi kami, setiap pembelian atau perbelanjaan signifikan akan dirancang terlebih awal dimana kami akan mengumpul wang secara berkala sebelum membuat pembelian tersebut," kata Sheahnee.

Tambah beliau, langkah sebegini dapat mengelakkan mereka daripada membayar faedah.

Bagi beliau, tanggungan hutang mempunyai risiko tersendiri bagi keluarga mereka, lebih-lebih lagi dengan sumber pendapatan yang tidak tetap.

"Oleh itu, perancangan kewangan yang rapi dan efektif penting supaya kami tidak akan berdepan situasi yang sukar di masa hadapan," tambahnya.

'UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI'

Apabila melibatkan pengurusan kewangan, Naz, yang juga pemilik Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) memegang prinsip 'ukur baju di badan sendiri'.

"Sudah tentulah kita semua ada keinginan, tetapi bagi masa depan keluarga saya merasakan berbelanja mengikut kemampuan adalah yang terbaik," kata beliau.

Tambahnya, melihat kepada sumber pendapatannya, beliau sentiasa memastikan perbelanjaan bagi enam bulan ke hadapan sentiasa tersedia.

"Ini sebagai jaminan bagi keluarga kerana sumber pendapatan kami yang tidak menentu," jelas Naz.

Berbelanja ikut kemampuan

Dari segi menguruskan pendapatan bulanannya, beliau berkata lebih separuh daripada jumlah tersebut diberi untuk bayaran pinjaman rumah.

Walaupun beliau mengakui, pecahan yang agak besar diberikan untuk tujuan pembayaran pinjaman rumah, Naz menyatakan adalah penting bagi pecahan yang lebih besar dalam pendapatannya disumbangkan kepada aset.

"Saya mengambil tempoh pinjaman yang kurang supaya dapat selesaikan hutang dengan cepat. Oleh itu, pendapatan saya selepas waktu tersebut akan difokuskan bagi anak-anak," kata Naz.

Baginya, lebih baik 'bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian'.

BANYAKKAN BERJIMAT

'Kurangkan makan di restoran'

Apabila ditanya tentang cara Naz dan keluarganya berbelanja, beliau menjawab bahawa penekanan diberi kepada mengelakkan pembaziran.

"Sebagai contoh, kami kurang makan di luar kerana isteri saya banyak masak di rumah," jelas Naz.

Jadi, tegas beliau adalah penting bagi amalan 'memasak di rumah' bagi keluarga-keluarga, terutamanya yang berada di kelas pertengahan dan bawah.

"Percayalah, memasak di rumah sangat efektif dalam menjimatkan kos jika dibandingkan dengan makan di luar," jelas Naz.

Selain itu, perkakas elektrik yang dipasang dalam rumah juga bersifat jimat tenaga bagi mengurangkan pembayaran bil setiap bulan.

Sheahnee pula sentiasa membeli barang secara dalam talian bagi menjimatkan kos.

"Jika dirujuk kepada kupon diskaun, pengguna yang bijak boleh mendapat pelbagai penjimatan jika beli produk tetentu pada masa tertentu," jelas Sheahnee.

Katanya, pembelian secara atas talian bukan sahaja menjimatkan kos tetapi juga masa.

"Sebagai ibu kepada tiga orang anak yang masih muda, agak sukar untuk melakukan pembelian di pasaraya.

"Oleh itu, ini merupakan cara yang terbaik bagi saya," kata Sheahnee.

Selain itu, beliau juga sentiasa melakukan jualan semula bagi barangan yang lama di sekitar rumahnya, terutama sekali baju.

"Jangan terkejut dengan jumlah wang yang mungkin dapat dihasilkan," kata beliau sambil tersenyum.

Dengan cara ini, kata Sheahnee, bilangan barang di dalam rumahnya dapat diuruskan secara baik dan pada masa sama, mampu menjana pendapatan sampingan.

'Elakkan pembaziran'

HARAPAN BAGI BAJET 2016

Pasangan ini amat mementingkan keselamatan anak-anak mereka dalam kehidupan seharian.

Atas kesedaran tersebut, mereka mencadangkan supaya kos 'child restraint seat' atau tempat duduk kanak-kanak yang biasa diletakkan di bahagian tempat duduk belakang kereta diberi perhatian dalam pembentangan bajet kali ini.

"Apa salahnya sekiranya polisi kerajaan digubal untuk memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin," kata mereka.

Antara cara yang dicadangkan termasuk memberi rebat kepada ibu bapa yang membeli tempat duduk tersebut serta memberi insentif kepada syarikat tempatan untuk menjadi pengeluar agar kos tempat duduk tersebut dapat dikurangkan.

Selain itu, mereka juga berharap kerajaan menimbang pengurangan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) supaya dapat sedikit sebanyak mengurangkan beban rakyat.

Akhir sekali, Naz pula mengharapkan kerajaan memperkenalkan semula rebat bagi kereta jenis hibrid.

"Melihat kepada harga minyak petrol yang turun naik kini, saya percaya rebat ini akan menggalakkan ramai keluarga untuk membeli kereta ini yang dapat menjimatkan penggunaan minyak petrol," kata Naz.