Bandar di Malaysia perlu bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan sejajar dengan urbanisasi yang pesat dan kemajuan dalam bidang teknologi dan inovasi.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata penyelidikan dan perancangan bagi bandar masa depan adalah perlu untuk menangani cabaran urbanisasi dan inovasi global yang lain termasuk dalam bidang teknologi, pengetahuan dan perdagangan.

"Dengan urbanisasi pada masa ini sebanyak 76 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, dan kadar urbanisasi tahunan sebanyak 2.19 peratus, bandar kita perlu bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.

"Memandangkan kita bergerak ke arah 2050, bandar kita akan menjadi cerminan aspirasi negara dan kita perlu memastikan bahawa kita melaksanakan langkah-langkah yang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan kita di dunia," katanya dalam ucapan pada Forum Shaping Smart Cities and Future Lifestyles di sini pada Jumaat.

Madius berkata kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi mempunyai potensi untuk mengubah industri sedia ada dan mewujudkan yang baharu, termasuk pembuatan bandar, projek tenaga boleh baharu, penggunaan secara meluas dron dan robot serta Internet of Things.

"Dari segi bandar raya seperti Greater Kuala Lumpur, yang kini mempunyai penduduk sebanyak 7.25 juta dan menyumbang RM263 bilion kepada pendapatan negara kasar negara, kita perlu berhati-hati dengan trend masa depan dan inovasi global untuk menyediakan industri, pengurus bandar, pemaju dan rakyat kita dengan lebih baik," katanya.

Sementara itu, pada sidang media, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia Hazami Habib berkata dengan urbanisasi sebagai trend global, kerajaan perlu mempunyai pelan yang amat bersepadu di bandar untuk memberi kehidupan yang berkualiti.

"Kepadatan bandar semakin tinggi dan tinggi. Di Malaysia, terdapat cabaran untuk menyepadukan semua megatrend, termasuk urbanisasi yang pesat, serta demografi dan perubahan sosial.

"(Pembangunan) tidak bersepadu dan dirancang dengan baik. Lebih banyak wang perlu dibelanjakan untuk menjadikannya lebih bersepadu. Memperbaikinya lebih rumit berbanding membinanya," katanya.

Dianjurkan oleh Malaysia Biennial 100YC, forum setengah hari itu menghimpunkan kira-kira 300 pemaju hartanah, ahli akademik dan wakil daripada pihak berkuasa tempatan.

Forum itu diadakan bersempena dengan ekspo Ekonomi Kreatif dan Inovasi Kebangsaan 2017 selama lima hari, yang bermula Khamis.

-- BERNAMA