Banyak habiskan masa di media sosial punca suami isteri kurang ke ranjang - Pakar

|

Keintiman dalam hubungan sering kali menjadi semakin kurang apabila rumahtangga yang dibina mencapai usia lebih dua tahun.

KURANG berinteraksi merupakan antara masalah yang dihadapi pasangan suami isteri masa kini ini dalam usaha mengekalkan keintiman antara satu sama lain.

Pandangan itu dilontarkan Pakar Psikologi dan Pengarah Pusat Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor.

Menurut Mariani, antara faktor yang terjadi ialah apabila pasangan tersebut menghabiskan masa berlebihan di media sosial dan gagal membahagikan masa bersama pasangan.

Katanya, ini akan membuatkan interaksi antara satu sama lain menjadi kurang.

“Hubungan seks memainkan peranan penting dalam hubungan kerana ia akan mewujudkan perasaan rapat antara suami dan isteri, mewujudkan keintiman, serta menimbulkan rasa kasih sayang dan tanggungjawab.

“Kurangnya hubungan seks dalam suatu hubungan secara tidak langsung akan mengurangkan rasa sayang dan tanggungjawab ke atas pasangan,” kata Mariani ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Tambahnya, generasi masa kini yang merupakan generasi zaman teknologi maklumat (IT) membuatkan masa seseorang terbahagi antara pasangan dan penggunaan media sosial.



“Berbeza dengan zaman dahulu di mana pasangan suami isteri tidak ada kepentingan lain untuk difokuskan selain kerja dan komitmen kepada keluarga,” tambahnya.

Menurutnya, dapatan berdasarkan kajian yang dilakukan UM itu mendapati bahawa kurangnya hubungan seks antara suami isteri, turut menjadi antara faktor penyebab berlakunya perceraian di Malaysia.

Jelasnya lagi, keintiman dalam hubungan sering kali menjadi semakin kurang apabila rumahtangga yang dibina mencapai usia lebih dua tahun.

“Setiap pasangan harus mengekalkan kualiti masa bersama, kualiti dalam hubungan seks, kualiti dalam berinteraksi untuk menguatkan keintiman dalam hubungan.

“Isteri atau suami juga mesti pandai menjaga pasangan dari pelbagai aspek seperti keselamatan dan penghargaan.

“Elemen berterus terang, berkongsi pendapat, meluahkan perasaan bersama dan selesaikan masalah dengan perbincangan adalah antara aspek yang penting dalam perkahwinan,” tambahnya lagi.

Setiap masalah yang berlaku ada cara penyelesaiannya, dan tindakan yang bijak untuk mengelakkan perceraian adalah merujuk kepada kaunselor atau pakar psikologi.

Kerajaan Malaysia telah menyediakan kemudahan seperti pusat kaunseling perkahwinan, pusat psikologi dan jabatan agama Islam di setiap negeri untuk menangani masalah hubungan suami isteri.


Outbrain