KINI membeli tudung semudah menggunakan mesin layan diri. Kaedah inovatif itu diperkenalkan syarikat Initiate Global Resources Sdn Bhd pemilik jenama tudung Querenda.

Mesin layan diri yang dikenali sebagai Querenda Hijab On The Go dikeluarkan buat pertama kali sebagai projek rintis di The Mines, Seri Kembangan, Selangor, lapor Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roszie Amir mesin layan diri itu juga menyediakan TV LCD yang menayangkan tutorial menggayakan tudung jenama mereka.

“Satu mesin ini mampu memuatkan 150 helai tudung pelbagai koleksi dan warna. Biasanya kami hanya letak dua koleksi tudung sahaja dan pelbagai pilihan warna, yang sesuai dengan sasaran pelanggan di suatu lokasi tersebut. Tudung Querenda didatangkan dalam kotak khas yang sesuai juga untuk dijadikan sebagai hadiah.

“Pembeli mempunyai pilihan kaedah pembayaran, sama ada secara tunai, debit, kredit dan Touch ‘n Go,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 20 vendor akan menyediakan khidmat mesin layan diri itu pada tahun ini.

Querenda menghasilkan tudung jenis shawl pelbagai saiz. Sesebuah mesin boleh menyimpan sehingga 150 helai tudung pada satu masa.