PANDEMIK COVID-19 yang menular di seluruh dunia menyaksikan kebanyakan negara mengambil langkah tertentu dalam membendung jangkitan tersebut termasuk melaksanakan perintah berkurung.

Bagaimanapun, bukan mudah bagi segelintir individu untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, terutamanya apabila 'dilarang' keluar dari kediaman sendiri.

Terbaru, kajian mendedahkan satu daripada tiga wanita mengalami kesunyian ketika mengharungi pelaksanaan perintah berkurung.

Kajian yang dijalankan oleh ahli ekonomi di Universiti Essex, England, mendakwa wanita mengalami lebih banyak masalah mental berbanding lelaki ketika pandemik COVID-19.

Data tersebut turut menunjukkan bahawa bilangan individu yang membuat laporan mengenai masalah mental meningkat daripada tujuh peratus kepada 18 peratus sepanjang tempoh wabak berkenaan.

Bagi wanita pula, peratusan menyaksikan peningkatan daripada 11 peratus kepada 27 peratus.

Para penyelidik berpendapat peningkatan masalah mental dalam kalangan wanita berkemungkinan kerana tekanan yang lebih besar diletakkan kepada golongan tersebut, termasuk urusan penjagaan anak-anak dan kerja rumah.

“Kajian itu mendapati bahawa lebih satu daripada tiga wanita (34 peratus) melaporkan kadang-kadang berasa kesepian ketika Perintah Berkurung (dikuatkuasakan), sementara 11 peratus lagi mengatakan mereka sering berasa sunyi.

“Bagi lelaki, 23 peratus mengatakan mereka kadang-kadang berasa kesunyian, dan hanya enam peratus dilaporkan kerap mengalami kesunyian,” demikian menurut kajian tersebut memetik Independent.co.uk.

Kajian tersebut dijalankan melalui temu bual dalam talian menggunakan penyelidikan Longitudinal Isi Rumah United Kingdom (UK).

Penyelidikan Longitudinal merupakan kajian yang dibuat pada beberapa masa meliputi siri masa, panel dan cohort.

“Kajian awal yang dihasilkan sejak bermulanya pandemik COVID-19 mendapati kesejahteraan mental merosot, terutama bagi wanita. Dengan menggunakan data yang lengkap, kami mendokumentasikan penemuan serupa untuk UK.

“Kami menambah kajian yang ada dengan menunjukkan bahawa banyak jurang kesejahteraan yang dapat dijelaskan oleh perbezaan gender dalam faktor sosial dan peningkatan perasaan kesepian,” jelas kajian tersebut lagi.

Sementara itu di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan setakat 18 Mei, pihaknya menerima 8,380 panggilan berkaitan kes kesihatan mental kesan akibat penularan pandemik COVID-19.

Cuba kita amati tanda-tanda masalah kesihatan mental berikut, seperti yang digariskan oleh KKM. Jika ada antara anda terasa mengalaminya atau melihat sendiri orang terdekat mengalaminya, segera dapatkan bantuan mengikut saluran yang betul: