SAAT ini penulis dalam perjalanan untuk menyempurnakan misi bantuan kemanusiaan #PeduliYaman bersama Global Peace Mission (GPM).

Seperti biasa apabila dihebahkan di media sosial mahupun media massa mengenai perjalanan misi pada kali ini, ianya pasti menarik perhatian rakan-rakan dan juga mereka yang mengikuti perkembangan misi-misi bantuan kemanusiaan GPM.

Antara respon mereka di samping ucapan selamat dan juga doa serta harapan agar misi dapat disempurnakan sebaiknya, pasti ada yang juga turut teruja untuk turut sama menyertai misi-misi sebegini jika diberi peluang.

Penulis bermain bersama anak-anak Syria ketika Misi Bantuan Kemanusiaan Syria – Foto Malaysia Life Line for Syria
"Bestnya dapat pergi misi bantuan kemanusiaan! Nak ikut boleh?"

Teman-teman penulis yang baik hati, apa yang kalian lihat bestnya pergi misi-misi bantuan kemanusiaan di dalam dan juga luar negara hakikatnya tidaklah semuanya indah.

Ianya datang dengan penuh tanggungjawab dan juga rasa penuh kesedaran bahawa misi bantuan kemanusiaan merupakan perjalanan untuk mengangkat kesengsaraan manusia, menyelamatkan nyawa dan juga mengembalikan serta meletakkan maruah insan pada tempat yang sepatutnya.

Seandainya perkara pertama yang sampai di dalam benak pemikiran kalian bahawa seronoknya kerana dapat 'melancong', maka penulis kira kalian telah tersasar jauh daripada falsafah sesuatu bantuan kemanusiaan itu dilaksanakan.

Ya, misi bantuan kemanusiaan bukanlah sesuatu yang dilakukan kerana suka-suka. Ia tidak datang dengan pakej kita akan dilayan seperti anak raja mahupun disambut atau ditatang bagaikan anak emas. Tidak sama sekali.

Sesebuah misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan memerlukan perancangan dan juga tujuan yang jelas.

Ia akan berhadapan dengan pelbagai kerenah birokrasi, mengenal pasti sumber dan juga rakan pelaksana yang absah, permasalahan komunikasi dan bahasa, limitasi pada akses bantuan, kekangan sumber di lapangan, risiko barang-barang bantuan dirampas dan pelbagai perkara lain yang harus diambil tahu serta dirancang dengan penuh teliti.

Mungkin sahaja sesuatu misi bantuan tidak mencapai objektifnya atau gagal untuk disampaikan kepada kumpulan sasaran.

Nah, tidak mudahkan? Tidak indah semuanya kan?

Namun, pastinya momen yang paling indah adalah saat segala amanah yang tertanggung di atas pundak ini langsai dan menyaksikan sendiri ianya sampai kepada penerima manfaat.

Di sebalik indah dan tenangnya wajah-wajah gembira di gambar-gambar yang dipaparkan di sosial media terlalu banyak kisah yang tidak betah kami ceritakan.

Sementelah kami diajar untuk simpan sahaja segala yang tidak indah buat pedoman diri dan teman-teman. Kita bukan peraih simpati. Kita ini pejuang mengangkat karamah insani.

Serahan sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Palu, Sulawesi Tengah. – Foto GPM
Mempersiap diri sendiri sebelum berangkat menyertai misi itu pun menuntut satu kekuatan yang bukan biasa-biasa. Persediaan mental dan fizikal termasuk emosi harus berada di tahap yang baik, apatah lagi sekiranya misi yang akan dilaksanakan adalah di negara-negara yang berisiko dan berbahaya.

Tidak sekali dua cabaran di lapangan hampir sahaja menggugah semangat juang. Pelbagai cara diusahakan agar amanah mampu disalurkan sebaiknya. Tidak sedikit jua air mata malah mungkin darah yang mengalir dan tidak terkecuali juga sesuatu yang berlaku ketika di lapangan yang boleh sahaja meragut nyawa! Iya, kisah-kisah yang jarang-jarang diceritakan.

Penulis ketika berada di salah sebuah kem Internally Displaced Person (IDP) di Yaman – Foto GPM
Beban terbesar adalah beban emosi. Kerana kita manusia. Yang sarat dengan emosi. Terkadang kalah dengan emosi sendiri ketika berada di lapangan, namun ianya harus segera ditangani. Seorang petugas kemanusiaan harus mempunyai hati yang kental. Namun ianya tidak semudah kata-kata.

Melihat segala macam kesengsaraan yang tidak pernah terlihat sebelum daripada ini, melihat mayat-mayat bergelimpangan, darah yang berhamburan, menjadi saksi kepada kekejaman sesebuah peperangan bisa sahaja meruntun jiwa nurani kita. Laporan menyebutkan sejumlah 30% petugas kemanusiaan akan berhadapan dengan masalah 'post-traumatic stress disorder' (PTSD) setelah pulang dari menyempurnakan misi dan ianya harus dirawat dengan baik.

Maka penulis mahu mengajak pembaca untuk menilai kembali ‘bestnya’ melaksanakan satu-satu misi bantuan kemanusiaan. Ianya hadir dengan falsafah dan tanggungjawab yang besar kerana akhirnya kita mahu untuk membantu dan juga menyelamatkan seberapa banyak nyawa mereka yang menjadi mangsa keadaan di dalam masa yang sama memperjuang ikhlas dalam sesebuah perjalanan misi bantuan kemanusiaan.


*Syahrir Azfar Saleh ialah Ketua Pegawai Operasi, Global Peace Malaysia (GPM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.