Walaupun sudah memasuki hari keempat bahang kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih lagi dirasai.

Lagu raya pelbagai versi yang bermain di corong-corong radio pasti mengimbau kenangan yang masih terpahat di ingatan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata meraikan hari kemenangan selepas sebulan berpuasa bersama-sama ahli keluarganya yang ramai memang menggamit kenangan semasa zaman kanak-kanaknya.

“Dulu waktu zaman kanak-kanak memang berbeza kemeriahannya memandangkan kami mempunyai ahli keluarga yang ramai. Boleh bakar mercun," kata Muhyiddin ketika ditemu bual Astro AWANI, baru-baru ini.

“Ada juga kami pergi marhaban dari rumah ke rumah,” jelasnya dalam nada berseloroh.

Seperti kanak-kanak lain, Muhyiddin turut merasai pengalaman menikmati kuih raya dan mengunjungi rumah jiran tetangga untuk mengumpul duit raya.

Namun, episod sambutan hari raya Muhyiddin berubah sebaik sahaja beliau berhijrah ke kota.

“Walaupun keadaan tidak lagi sama namun ia tetap meriah tapi dalam keadaan yang baru,” katanya.

Beliau turut mengucapkan selamat hari raya dan mengajak semua untuk menjadikan Syawal sebagai bulan untuk saling mengingati mereka yang kurang bernasib baik.

“Mudah-mudahan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab, segala amalan kita diterima oleh Allah seterusnya menjadikan hari raya ini cukup bermakna bagi diri kita.”

Sebelum menamatkan temuramah, Muhyiddin turut mengingatkan pengguna jalan raya agar mengawal kelajuan dan mengutamakan keselamatan bagi mengelak perkara yang tidak diingini.