Tutup

BookXcess lancar kedai buku 24 jam pertama di Malaysia

BookXcess lancar kedai buku 24 jam pertama di Malaysia
BookXcess di Tamarind Square, Cyberjaya merupakan kedai buku terbesar di Malaysia yang beroperasi 24 jam. - Facebook/BookXcess
CYBERJAYA: BookXcess, pemilik rangkaian kedai buku serta penganjur pesta buku Big Bad Wolf (BBW), mencipta sejarah apabila melancarkan kedai buku pertama yang beroperasi 24 jam dan meliputi kawasan seluas 3,437 meter persegi (37,000 kaki persegi).

Terletak di Tamarind Square di sini, cawangan baharu BookXcess itu turut menawarkan lebih 500,000 buah buku dengan harga 50 hingga 80 peratus lebih murah daripada harga pasaran, meliputi pelbagai topik termasuk fiksyen, seni dan rekaan dan buku kanak-kanak dalam pelbagai bahasa.

BookXcess Tamarind Square meliputi kawasan seluas 37,000 kaki persegi. - Facebook/BookXcess
Ketua Pegawai Produk BookXcess, Yujeen Chua berkata kedai itu yang dibuka sejak Selasa lepas diharapkan dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat terutama pelajar universiti di sekitar Cyberjaya dan Putrajaya dan kawasan berdekatan.
BookXcess Tamarind Square harap dapat menarik pelbagai lapisan masyarakat. - Facebook/BookXcess
"Selain itu, lokasinya yang dikelilingi keindahan landskap menjadi pilihan kerana ia lebih selesa untuk pembaca di BookXcess Tamarind Square, jauh daripada kesibukan bandar dan boleh memberi sumber inspirasi buat pembaca," katanya semasa melancarkan kedai buku itu.

Beliau juga yakin walaupun kedai itu jauh dari Lembah Kelang, ia dapat menarik pelanggan kerana harga buku yang lebih murah akan menjadi faktor penarik pencinta buku untuk mengunjunginya malah bukan sahaja dari Lembah Kelang tetapi juga penduduk di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

BookXcess menawarkan lebih 500,000 buah buku dengan harga 50 hingga 80 peratus lebih murah daripada harga pasaran. - Facebook/BookXcess
Yujeen berkata selain itu BookXcess Tamarind Square mempunyai tarikan berbeza kerana pusat beli-belah itu mempunyai landskap menarik untuk dijadikan sudut untuk fotografi.
Landskap menarik di BookXcess Tamarind Square. - Facebook/BookXcess
Selain itu, kedai buku itu juga menyediakan ruang umum untuk pelanggan membuat kerja atau membaca, serta WiFi percuma, kafe dan ruangan untuk mengadakan aktiviti seperti kelas seni dan kraf serta pertandingan mewarna.

BookXcess yang mula dibuka di Amcorp Mall pada tahun 2006 kini sudah mempunyai tujuh cawangan, antaranya di beberapa pusat beli-belah seperti Starling Mall di Damansara, Fahrenheit 88 di Bukit Bintang dan 1Utama di Petaling Jaya. -- Bernama