BAGI mereka yang mampu, membeli-belah di butik-butik mewah bukanlah satu perkara yang pelik.

Namun apabila aktiviti itu dimuat naik ke laman sosial, ia sering kali menimbulkan persepsi yang negatif.

Bagi usahawan terkenal, Datuk Seri Vida, memuat naik video dan gambar membeli-belah di butik mewah ke laman sosial bukanlah tanda beliau riak.

Sebaliknya, dalam beberapa kemas kini terbaharu di akaun Instagram, pemilik jenama Vida Beauty yang kini sudah bergelar penyanyi itu memberitahu ia satu bentuk perkongsian dan pemasaran jenamanya.

Apa yang diharapkan daripada perkongsian itu ialah orang ramai akan tertarik untuk sama-sama menceburi bidang perniagaan.


Dalam masa yang sama, Vida turut menjawab usikan netizen yang minta 'dibelanja'.


"Bukan tak boleh bagi, tapi saya tak suka orang yang meminta.

"Tetapi jika benar-benar tidak mampu, saya akan cuba beri bantuan," katanya.

Video-video dan gambar-gambar yang dimuat naik Vida itu adalah daripada percutiannya ke Singapura, di mana beliau berkunjung ke butik jenama Louis Vuitton terbesar di Asia.

Difahamkan butik tersebut menutup operasi dua jam lewat daripada biasa kerana memberi peluang kepada Vida dan rakannya membeli belah.