TIDAK keterlaluan jika dikatakan, majoriti daripada kita mempunyai bantal kesayangan atau sering kita gelarkan, bantal busuk.

Hakikatnya bantal busuk bukan sekadar gelaran kerana ada sesetengahnya memang sengaja dibiarkan tidak berbasuh kerana 'aroma' itulah yang membuatkan bantal itu istimewa.

Baru-baru ini, seorang gadis, dipercayai pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), membuat pengakuan di akaun Facebook confession yang dikendalikan di bawah nama IPTS tersebut, berkenaan teman lelaki dan bantal busuknya.

Menurut gadis itu, teman lelaki yang dikenali selama dua tahun itu bertindak mahu memutuskan hubungan mereka kerana tidak tahan dengan bau bantal tersebut.

Gadis itu mengakui bantal kesayangannya itu sudah setahun tidak dibasuh dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan, namun tidak menyangka ia akan menjadi penyebab hubungan mereka berakhir.

"Saya sudah basuh bantal itu, tetapi dia tetap tekad mahu putuskan hubungan kami. Katanya, lain kali tidak mustahil saya akan buat (tidak basuh bantal) lagi," tulisnya.

Di akhir ceritanya, gadis itu meminta pendapat netizen sama ada dia patut melakukan sesuatu untuk menyelamatkan hubungan mereka.

Agak melucukan apabila pengakuan gadis itu mendapat perhatian ramai, apabila lebih 600 komen diberikan, dengan majoriti meminta gadis itu untuk move on dan 'simpan bantal busuk, tinggalkan lelaki itu'.

Nampaknya, cinta boleh dicari, tetapi bantal busuk tiada ganti.

Pengakuan si gadis tentang bantal busuk dan teman lelakinya dapat perhatian. - Facebook