LAMAN sosial terbesar, Facebook menambah ciri baharu, khusus untuk ibu bapa, bagi memudahkan mereka terlibat lebih aktif dalam komuniti.

Ciri yang hadir dalam bentuk kumpulan ini disasarkan untuk memberi ruang yang selamat kepada ibu bapa untuk berkumpul serta berkongsi sokongan dan pengalaman.

"Apabila admin memilih jenis kumpulan keibubapaan, mereka akan membuka akses kepada tiga ciri unik yang disesuaikan dengan pengalaman keibubapaan.

"Dengan ciri baharu ini, ibu bapa akan rasa lebih selesa ketika berbicara mengenai kehidupan peribadi mereka, memudahkan mereka mengenal pasti kandungan yang penting, dan mencari atau berkongsi nasihat dengan orang lain.

"Ciri-ciri baharu ini akan memudahkan ibu bapa untuk menemui komuniti yang tepat, dan menjadikannya lebih selamat dan lebih mudah untuk melibatkan diri,” kata Grace Clapham, Ketua Perkongsian Komuniti Kerjasama Akreditasi Asia Pasifik (APAC) Facebook.

Ciri Anonymous Post membolehkan ahli membuat catatan tanpa mendedahkan identiti.

Kumpulan ini disifatkan akan memberi ibu bapa cara lebih mudah untuk mereka berkenalan dan berinteraksi dengan komuniti mereka.

Untuk membolehkan ahli kumpulan membuat catatan tanpa mendedahkan identiti, mereka boleh menggunakan ciri Anonymous Post.

Ciri Badge pula dapat membantu ahli kumpulan untuk mengenal pasti di tahap mana mereka berada dalam fasa keibubapaan.

Ciri bimbingan atau Mentorship pula diperluas kepada semua kumpulan ibu bapa, di mana admin kumpulan terbabit boleh memilih dan membuat program bimbingan dalam talian, memberi peluang ahli memilih dan memadankan pasangan mentor-mentee yang dimahukan.

Di Malaysia, Better Dads Malaysia merupakan antara contoh kumpulan yang menggerakkan gerakan nasional bagi membantu golongan bapa membina interaksi, pengetahuan, sokongan dan kemahiran sehingga mereka dapat berkomunikasi dan berhubung dengan anak-anak mereka dengan lebih baik.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan bermula, kumpulan ini banyak mengadakan perbincangan mengenai pelbagai topik melalui Facebook Live termasuk bagaimana mengurangkan konflik keluarga dan menguruskan komunikasi yang sihat antara ibu bapa dengan anak-anak.

"Sebagai bapa kepada lima anak, saya melihat kumpulan ini sebagai sistem sokongan yang tepat untuk komunikasi berkesan serta belajar bagaimana membina hubungan berkualiti dengan anak-anak saya,” kata Ivan Sia, Fasilitator Bengkel ICAN Better Dads Malaysia.