SAYA menantinya hampir dua jam.

Permintaan saat-saat akhir mahu menemuramahnya untuk kisah politik di Kelantan, tentang keyakinan Barisan Nasional (BN) untuk tawan negeri itu kali ini.

Beliau bersetuju, tapi dalam keadaan tergesa-gesa, memaklumkan temuramah perlu berlangsung pantas, kerana ada tiga lagi acara menantinya hari itu.

Saya sempat tanya soalan-soalan wajib tentang politik.

Tetapi selepas mengamati beliau secara peribadi, saya tukar niat itu.

Kali ini, saya mahu cerita tentang kisah penatnya menjadi Datuk Seri Mustapa Mohamed atau yang kita kenali sebagai Tok Pa.

Sudah tentu saya tanyakan kepada beliau, "Tok Pa tak penat ke?"

Tok Pa tersenyum, matanya, ada kesan 'eye bag', tanda tidak cukup tidur.

Daripada perkongsian rakan-rakan, saya dapat tahu waktu tidur beliau hanya antara jam 1 hingga 5 pagi setiap hari.

"Siang tak pernah rasa penat. Masa saya bekerja, saya memang tak pernah rasa penat. Apatah lagi selepas bertemu rakan dan penyokong. Penat itu hanya datang sebelah malam, sebelum saya lelapkan mata," jujur beliau menjawab pertanyaan saya.

Sejak 1987, beliau menjadi ahli politik sepenuh masa. Maka, percaya atau tidak, rutin hidup seumpama ini sudah dilalui Tok Pa selama 31 tahun.

Beliau adalah yang pertama 'clock in' di pejabat, seawal 7.30 pagi dan sering kali jadi insan terakhir meninggalkan pejabat, adakalanya bila sudah memasuki hari lain.

Dan menurut Tok Pa, kakitangannya sendiri umum tentang kecanduannya bekerja sehingga adakalanya waktu bersama dengan keluarga jadi korban.

Waktu hampir pilihan raya paling kritikal, kerana beliau menghabiskan masa berulang-alik antara Kuala Lumpur-Kelantan, dengan purata empat hari di Kelantan, tiga hari di Kuala Lumpur setiap minggu.

Adakala Tok Pa berada di beberapa jajahan dalam satu hari.

Sama ada pagi berlepas dari Kuala Lumpur, mendarat di Kota Bharu, bergegas pula ke kawasan parlimennya di Jeli untuk acara rasmi bersama rakyat. Kemudian, berkejar pula ke Tanah Merah dalam hari yang sama untuk satu lagi acara, sebelum berlepas pulang semula dengan mengambil penerbangan terakhir ke Kuala Lumpur.

"Saya bukan sekadar berada di Kota Bharu, saya melawat seluruh negeri. Saya beri komitmen tinggi. Semua yang terbaik untuk Kelantan, termasuk korbankan masa dan tenaga untuk keluarga.

"Saya tahu keluarga tak berapa senang hati dengan apa yang saya buat, kurangnya tumpuan diberikan kepada mereka, tetapi saya bekerja keras demi rakyat Kelantan, demi melihat perubahan di Kelantan," jelas Tok Pa.

Spontan saya terus bertanya di hujung pertemuan, "Sekerap mana jumpa cucu?"

"Saya ada tiga cucu, memang ada yang tinggal dengan saya, tapi jarang-jarang sangat tengok, setengah tu tak suka saya pun, sebab jarang jumpa.

"Dalam seminggu, peluang tengok cucu cuma antara lima ke 10 minit," jawab Tok Pa sambil ketawa dan bangkit terus berlalu.

Jadualnya padat, ada pertemuan dengan Cuepacs Kelantan dan perlu berkejar pula ke Tanah Merah untuk acara penyerahan sumbangan kepada mangsa mati lemas selepas solat Maghrib.

Alahai... sungguh, saya yang mendengar acara Tok Pa pun jadi penat.

Tetapi, pada satu sisi, bertuahnya rakyat Kelantan, ada sosok sebegini rupa peduli tentang mereka.

Dan bukan sukar membaca, kepedulian Tok Pa ini bukan wayang, tetapi benar-benar ikhlas kerana beliau sudah menganggap tugas sebagai wakil rakyat itu amanah Allah yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin, walaupun harga yang terpaksa dibayarnya bukan alang-alang.

Kalau #inikalilah rezeki BN dapat tawan Kelantan, rutin penat Tok Pa ini tiada penghujung, kerana banyak rencana sudah dibuat demi negeri tempat kelahirannya ini.

Dalam erti kata lain, kepedulian Tok Pa bermakna berkali ganda penatnya bertambah selepas ini demi rakyat.