Persatuan Muay Thai Sarawak (PMS) tidak terkecuali daripada menggunakan platform digital dalam memastikan peminat sukan tempur itu terus mengamalkan gaya hidup sihat.

Terbaharu, PMS tampil dengan cara berbeza dalam penganjuran kejohanannya. Menariknya, tanpa sebarang perjumpaan atau persentuhan.

Kejohanan yang dimaksudkan adalah kejohanan Wai Kru dan Muay Boran Remaja Tertutup Sarawak 2020.
Menurut Presiden PMS, Jumaat Ibrahim, konsep kejohanan secara digital ini diadaptasi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh penguatkuasa bagi membendung penularan COVID-19.

“Kita sekarang berada dalam tempoh sukar di mana orang ramai perlu kekal berada di rumah. Kebanyakan aktiviti luar dibatalkan serta dihadkan.

“Bagi Persatuan Muay Thai, kami ada melakukan satu latihan sukan ataupun kejohanan sebagai alternatif dengan memanfaatkan teknologi yang ada. Jadi anak-anak didik mahir dengan penggunaannya selain mengasah kebolehan dalam sukan Muay Thai,” katanya.

Di samping itu, Jumaat menambah kejohanan ini terbuka mengikut kategori yang telah ditetapkan iaitu individu dan berkumpulan.

“Apa yang dilakukan mereka adalah membuat latihan serta permainan atas talian di rumah masing-masing dan hantarkan video serta gambar kepada pihak urusetia PMS untuk dinilai,” ujarnya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Dengan adanya kejohanan digital ini, ia sekali gus menjadi platform baharu dalam mencungkil bakat selain memperkasakan penggunaan digital dalam kalangan rakyat di Sarawak.