BUKAN sahaja mementingkan pemasaran produk, namun penajaan Vida Beauty untuk pasukan bola sepak Kelantan turut membawa manfaat untuk bakal usahawan.

Pengasasnya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, atau Datuk Seri Vida, nyata punya hasrat besar dalam membantu golongan ini, khususnya penyokong pasukan yang dikenali sebagai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) itu, untuk memulakan perniagaan.

BACA: Tajaan Vida Beauty beri nafas baharu pembangunan bola sepak Kelantan

Ia bukan sekadar kata-kata kosong kerana perkara itu merupakan salah satu syarat penajaan Vida Beauty untuk pasukan Pantai Timur itu.

Menurut laporan Berita Harian, melalui kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Vida sudah mendapatkan persetujuan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk membantu bakal-bakal usahawan mendapatkan pinjaman jangka pendek.

Mereka yang sudah diluluskan pinjaman akan diberi peluang untuk 'berguru' dengan Datuk Seri Vida selama sebulan.

Mereka yang berhasrat untuk merebut peluang ini bolehlah menggunakan hashtag #usahawanbimbingandsv di aplikasi Instagram, beserta maklumat produk dan perniagaan yang mahu diceburi.

Penajaan Vida Beauty untuk pasukan Kelantan yang berjumlah RM16 juta, melibatkan 35 syarat yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak.