Program 'Dining In The Dark' – makan tanpa dibantu pancaindera mata – memberikan pengalaman kepada masyarakat normal agar dapat merasai pengalaman golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Program anjuran Kelab Penyayang Universiti Sains Malaysia (USM) ini memberi impak besar dalam mengubah perspektif masyarakat terhadap golongan OKU penglihatan.

Penganjurannya sekali gus memberikan penghargaan besar terhadap golongan OKU penglihatan agar dapat berdiri setanding dengan masyarakat normal.

Program ini memberi pengalaman kepada masyarakat normal akan kepayahan yang dialami OKU. - AWANI Rangers USM
Ketika program berlangsung, setiap peserta dikehendaki memakai topeng mata semasa makan dan pengacara majlis akan memberi arahan serta memberitahu kedudukan sudu, garpu dan pinggan.

Setiap peserta juga dibantu oleh ahli jawatankuasa program berkenaan sehingga selesai makan.

Dalam majlis itu juga, beberapa orang OKU penglihatan dijemput dan diraikan serta diberi penghargaan.

Rata-rata peserta yang hadir berasa amat terkesan selain merasai kekurangan dan kepayahan golongan OKU penglihatan dalam menjalani kehidupan seharian.

Ia sekali gus mewujudkan perasaan prihatin di dalam diri mereka.

Rata-rata peserta amat terkesan dengan pengalaman yang mereka alami. - AWANI Rangers USM

* Laporan disediakan Nurul Nadia Syafiqah Abd Halim, AWANI Rangers Universiti Sains Malaysia.

** Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.

*** AwaniRangers USM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Sains Malaysia.