NEGARA digemparkan baru-baru ini dengan cerita Dr Ika, seorang insan yang menyamar menjadi doktor sementara menjalani kehidupan seharian berpura-pura dan berlagak sebagai wanita. Hidup kepura-puraan di tengah-tengah kesibukan Bandaraya Melaka yang penuh sejarah dan sarat dengan legenda itu, Ika bebas menjalankan perkhidmatan klinik swasta tanpa mangsanya menyedari tentang keadaan sebenar.

Pada mulanya insan berumur 26 tahun dari Sabah ini nekad bertindak sedemikian berbekalkan pengetahuan perubatan hasil dari pembelajaran dalam bidang kejururawatan yang malangnya terkandas separuh jalan.

Ika berjaya mendapatkan sijil perakuan amalan tahunan daripada Majlis Perubatan Malaysia yang membolehkannya menjadi doktor secara separuh masa, tanpa menimbulkan keraguan dari majikan yang menggajikannya secara locum. Sebagai jururawat, walaupun tanpa kelulusan, Ika mahir melakukan rawatan termasuk membasuh dan menjahit luka serta merawat kemalangan kecil.

Sememang itulah amalan di kalangan para doktor muda baru yang rajin membuat kerja lebih masa untuk mencari rezeki lebih. Ika berjaya mendapat tempat di beberapa klinik di Perak, Pahang dan yang terakhir, di Melaka.

Dengan pengetahuan asas tentang bidang kejururawatan, beliau menjalankan tugas seperti doktor swasta. Bekerja dari 6 petang hingga 10 malam, Ika berasa teruja terutama apabila dikunjungi pesakit daripada kaum Adam.

Masyarakat mengenal kumpulan ini sebagai pondan – lelaki yang bernafsu kewanitaan dan memendam keinginan untuk bersama kaum sejenis. Dengan tugasan sebagai doktor, Ika bebas menghampiri pengunjung yang mencari rawatan seharian untuk pelbagai sakit pening.

Sungguh menggembirakan bagi Ika apabila pesakit yang dengan tulus ikhlas, membiarkannya sebagai doktor untuk memeriksa dan merawat mereka demi menjalankan tugas menyembuh pesakit. Pendapatannya agak selesa, dibayar RM45 sejam untuk perkhidmatan oleh pemilik klinik.

Modus operandinya terbongkar apabila seorang suri rumah merasa resah setelah Ika terlalu kerap menghubungi suaminya. Tindakan itu ditambah dengan usaha pihak berkuasa menyemak sijil kelayakan yang didapati palsu dan menggunakan nombor pendaftaran doktor lain yang asal.

Sememangnya, sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Dengan tertangkap dan terbongkarnya kegiatan Dr Ika, kamar pesakit di klinik swasta kembali selamat untuk pesakit yang memerlukan rawatan – terutamanya dari jejaka seluruh negara.

Kes Doktor Ika ini, walaupun serius, tidaklah sebesar yang berlaku di negara jiran. Ada yang lebih teruk sebenarnya. Sebagai contoh, tahun 2012, seorang lelaki Indonesia menyamar menjadi wanita hanya kerana keinginannya untuk menunaikan Haji.

Begitu besar harapannya sampai hendak menjadi tetamu Allah pun sanggup ditipu jantinanya dengan memalsukan pasport dan visa.

Dalam hal ini, masyarakat kita sendiri perlu memainkan peranan. Terpulanglah sama ada untuk menerima golongan-golongan tertentu supaya mereka tidak merasa dipinggirkan dan bertindak bodoh dengan memalsukan identiti diri mereka.

Tetapi, janganlah tindakan kita mendorong manusia seperti Ika mengambil jalan yang membawa padah.