Komuniti sukan elektronik (e-sukan) menerima kejutan besar apabila pemain Dota 2 profesional negara, Chai Yee Fun (Mushi) meninggalkan pasukan antarabangsa, Fnatic selepas dua tahun bersama dengan kumpulan itu.

Dalam satu kenyataaan di laman rasmi, Fnatic berkata pasukan tersebut terpaksa menerima hakikat bahawa prestasi pasukan tersebut semakin menurun.

"Selepas kejohanan The International 6 (Ti6), masalah penyusunan jadual senarai pemain tidak pernah selesai dan malangnya ia memberi kesan kepada pasukan.

"Ia merupakan satu kekesalan besar apabila pemain paling ikonik dalam Fnatic membuat keputusan untuk meninggalkan posisinya sebagai satu solusi bagi kumpulan ini untuk maju pada masa akan datang," tambah Fnatic dalam satu kenyataan.

Sementara itu Mushi menerusi Facebook peribadinya berkata, ini bukan pengakhiran buat kariernya dan merakamkan penghargaannya kepada peminat.

Beliau juga berjanji akan kembali.


Mushi merupakan antara nama besar yang meningkatkan industri e-sukan negara dan rantau Asia Tenggara. Sudah tentunya, peninggalan Mushi ini memberi kesan kepada peminat.

Di bahagian ruang komen status Facebook Mushi tersebut, ramai peminat memberikan kata-kata semangat kepada beliau.

"Kami tahu ramai tidak sukakan anda, dan ada juga yang mendesak supaya anda (Mushi) bersara daripada industri e-sukan. Namun mereka tidak tahu pengorbanan yang anda lakukan demi industri ini.

"Kami sebagai peminat, akan sentiasa bersama dan memberi sokongan kepada anda. Anda masih antara pemain Dota yang terbaik di dunia!" kata pengguna Facebook, Chau Lien Tao.

Tidak kurang juga ada yang mengakui mereka menyertai bidang ini kerana Mushi.

"Mushi, kerana anda Fnatic ada di Malaysia. Kerana anda, saya tonton kesemua kejohanan Major dan TI, memberi sokongan kepada pasukan yang anda tubuhkan.

"Berita peninggalan anda daripada pasukan Fnatic memang satu perkara yang mendukacitakan, " kata Alvin Seah, di ruang komen Facebook yang sama.

Malah ada juga yang mengharap agar Mushi dapat menubuhkan satu pasukan khas daripada tanah air.

"Bentukkan satu pasukan baru. Panggil semula Midone (Yeik Nai Zheng), Ohaiyo (Khoo Chong Xin) 343, (Adam Shah) dan ChuaN (Wong Hock Chuan ) dan bina satu kumpulan yang mewakili Pasukan Malaysia," cadang pengguna Facebook, Vincent Chong.


Rangkuman Kini Trending 7 Februari 2017