Earth Hour disambut pada setiap hari Sabtu terakhir pada bulan Mac.

Bertemakan #connect2earth, sambutan Earth Hour tahun ini jatuh pada 24 Mac 2018.

Sejak ia dilancarkan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) pada 2007, acara tahunan itu telah disertai 178 buah negara yang menutup lampu selama sejam mula 8.30 malam hingga 9.30 malam.

Mercu tanda yang menyertai acara bergelap itu termasuk bangunan-bangunan ikonik seperti Menara Eiffel di Paris; Empire State di New York; Sydney Opera House, di Australia dan Menara Berkembar Petronas (KLCC), di Kuala Lumpur.

Lebih sembilan juta orang mematikan lampu secara tanda solidariti pada sambutan Earth Hour tahun lalu.

GALERI FOTO: Earth Hour 2017: Bandar utama bergelap seketika

Namun tahukah anda, selain daripada menutup lampu, banyak lagi yang boleh anda lakukan untuk menyelamatkan bumi?

Di sini kami senaraikan lima perkara mudah yang boleh anda lakukan:

1. Elak guna sudu dan garpu plastik

Menjelang 2050, diramalkan laut akan dipenuhi dengan lebih banyak plastik berbanding ikan!

Jika anda boleh elakkan penggunaan pisau dan garpu plastik setiap kali waktu makan tengah hari, anda dapat mengelakkan pembaziran 466 barangan plastik.

2. Gunakan botol air minuman yang boleh diguna semula

Suka beli air mineral di kedai? Anda boleh mengurangkan plastik yang dibuang ke laut dengan menggunakan botol air minuman yang boleh diguna semula.

Botol air yang boleh diguna semula bukan sahaja mesra alam tetapi juga menjimatkan wang!

3. Kitar semula sisa makanan menjadi baja kompos

Tahukah anda dengan mengitar semula satu tan sisa makanan menjadi kompos, anda dapat menjimatkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 6kg.

Jika jumlah itu dihantar ke tapak pelupusan sampah ia menjadi 100 kali ganda jumlah pelepasan karbon - iaitu bersamaan dengan tindakan memandu tanpa henti selama 24 jam!

4. Guna peralatan elektrik cekap tenaga

Dengan menggunakan peralatan cekap tenaga anda boleh menjimat kira-kira 1.5 tan pelepasan gas kardon dioksida setahun. Ia juga menjimatkan bil elektrik anda!

5. Amalkan diet 'flexitarian'

Kawasan tanah yang luas, kuantiti air dan makanan yang banyak diperlukan dalam industri ternakan yang bukan sahaja merosakkan habitat sekaligus menjejaskan spesies haiwan yang kritikal.

Dengan mengurangkan pemakanan daging dan makan lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan, anda boleh mengurangkan pembebasan karbon dan membantu melindungi hidupan liar.

Seeloknya, tidak perlulah tunggu sampai Earth Hour untuk mengurangkan penggunaan elektrik. Selepas sejam, jadikan ia satu gaya hidup demi memelihara bumi untuk generasi akan datang.