ECT bantu pulih wanita hidap 'postpartum psychosis' - Pakar

ECT bantu pulih wanita hidap 'postpartum psychosis' - Pakar
Pengidap 'postpartum psychosis' boleh berhalusinasi dan tindakan mereka bergantung kepada halusinasi, jika mereka mendengar adanya 'suara' meminta untuk membunuh, itulah yang akan terjadi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kaedah terapi elektrokonvulsif (ECT) merupakan alternatif kepada pengambilan ubat antipsikotik dan terapi psikologi untuk merawat wanita yang menghidap 'postpartum psychosis', iaitu simptom kemurungan teruk selepas bersalin.

Pakar Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Umi Adzlin Silim berkata rawatan ECT menggunakan arus elektrik bertujuan menyeimbangkan semula perubahan hormon yang berlaku dalam otak pesakit yang mendorong tindakan luar kawalan.

Rawatan berkenaan biasanya digunakan terhadap ibu yang berisiko mendatangkan bahaya kepada diri dan juga bayinya.

"Rawatan ECT ini selamat, biasanya dijalankan sekurang-kurangnya enam kali dalam tempoh beberapa hari. Setiap sesi rawatan biasanya mengambil masa kurang daripada 30 minit," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Katanya, rawatan itu berkesan untuk memulihkan pesakit secara efektif namun pengambilan ubat-ubatan juga perlu diteruskan sebagai sokongan kepada rawatan yang dijalankan.
Simptom 'postpartum psychosis' yang juga dikenali 'puerperal psychosis' merupakan penyakit mental yang bukan hanya berpunca daripada tekanan emosi tetapi juga disebabkan oleh faktor genetik, kecelaruan bipolar dan skizofrenia.

Menurut Dr Umi Adzlin, walaupun hanya satu dalam 1,000 wanita mengalami 'postpartum psychosis' tetapi kesan daripada simptom itu boleh menyebabkan mereka bertindak agresif.

"Penghidap penyakit ini boleh berhalusinasi dan tindakan mereka bergantung kepada halusinasi, jika mereka mendengar adanya 'suara' meminta untuk membunuh, itulah yang akan terjadi," katanya.

Perunding Obstetrik dan Sakit Puan, Sri Kota Specialist Medical Centre, Selangor, Dr B. Vinodhini berkata 10 hingga 15 peratus wanita akan mengalami masalah emosi selepas bersalin.

Katanya, setiap wanita selepas bersalin akan mengalami keadaan 'baby blues' iaitu merasa sedih dan menjadi emosional tetapi simptomnya akan pulih dalam tempoh dua minggu selepas bersalin.

Namun jika dibiarkan berlanjutan ia boleh menyebabkan berlakunya 'postpartum depression' dalam tempoh empat hingga enam minggu dan sekiranya simptom itu tidak ditangani, ia juga antara faktor yang menyebabkan 'postpartum psychosis', katanya.

"Suami dan anggota keluarga perlu berhati-hati jika mengesan perubahan sikap yang tidak normal oleh seseorang ibu dan perlu membawa mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera," katanya.

Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Muhammad Shamsir Mohd Aris pula berkata gangguan emosi selepas bersalin atau 'meroyan' boleh dicegah sekiranya anggota keluarga turut memainkan peranan dan memberi lebih perhatian kepada ibu-ibu yang baru bersalin bagi mengesan sebarang perubahan tingkah laku dan emosi mereka.

Dalam pada itu, bidan kampung, Masitah Awang, 55, berkata tempoh berpantang yang betul amat penting bagi membolehkan wanita yang baru bersalin berehat dan mengembalikan semula tenaga serta menstabilkan emosi mereka.

"Semasa berpantang, emosi ibu tidak stabil ditambah lagi bayi yang memerlukan perhatian akan memberi tekanan sehingga menimbulkan gangguan perasaan kepada mereka'," katanya yang berpengalaman 15 tahun dalam bidang perubatan tradisional.

Isu 'postpartum psychosis' dalam kalangan wanita baru bersalin telah membawa kepada beberapa kejadian tragis termasuk pada 4 Feb lepas di mana seorang ibu mengelar leher bayi perempuannya berusia dua bulan setengah hingga mati di Kuarters Kem Desa Pahlawan Kok Lanas, Kota Bahru, Kelantan.

Pada Feb 2016, seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui mati di bawah pekarangan sebuah pangsapuri di Danau Kota, Setapak, di sini, dipercayai dicampak dari tingkat 18 bangunan berkenaan.

Pada Jun 2001, di Texas, Amerika Syarikat, seorang wanita Andrea Pia Kennedy Yates yang mengalami masalah 'postpartum depression' dan 'postpartum psychosis' yang teruk telah menenggelamkan lima orang anaknya yang berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun di dalam tab mandi di kediaman mereka.

-- BERNAMA