Pesakit kanser diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan produk kesihatan yang menjanjikan keputusan ajaib sedangkan manfaatkannya tidak terbukti secara klinikal.

Pakar Onkologi Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Shazril Imran Shaukat berkata kesan sampingan seperti rambut gugur setelah menjalani rawatan doktor termasuk kimoterapi sudah pasti menakutkan pesakit.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna pesakit boleh mengambil langkah mudah dengan mengikuti rawatan alternatif bagi mengelakkan mereka mendapatkan rawatan hospital.

“Jumlah pesakit kanser yang datang untuk menerima rawatan dan berada dalam tahap kritikal setelah mendapatkan rawatan alternatif amatlah signifikan.

“Ini mungkin berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya takut untuk menjalani rawatan hospital seperti kimoterapi selain terpengaruh saranan saudara atau rakan penjual yang menawarkan ubat-ubatan alternatif,” katanya.

Beliau menegaskan, testimoni di pasaran mampu mempengaruhi pesakit sehingga ada yang menolak untuk menerima rawatan doktor biarpun ubat-ubatan di hospital sudah lama diuji dan dibuktikan secara klinikal.

“Ubat alternatif yang dilabel semulajadi atau penggunaan perkataan makanan tambahan mampu melariskan jualan termasuk penggunaan herba yang kononnya boleh mengubati, namun harus diingat, tidak semua jenis herba selamat untuk dimakan,” katanya.

Beliau menjelaskan, tidak semua pesakit yang menjalani rawatan kimoterapi akan melalui kesan sampingan sama termasuk keguguran rambut namun ia bergantung keupayaan setiap individu.

“Sebenarnya pesakit kanser perlu faham bahawa rawatan kimoterapi bukanlah satu-satunya cara merawat kanser namun terdapat pilihan lain seperti terapi radiasi, ubat oral dalam bentuk terapi yang disasarkan, terapi hormon dan imunoterapi.

“Adalah lebih baik pesakit perlu mendapatkan nasihat doktor untuk fakta yang tepat mengenai penyakit dan rawatan tepat bagi tahap mereka tetapi sama ada untuk meneruskan rawatan hospital atau tidak, bergantung kepada keputusan pesakit, doktor hanya memberikan nasihat dan saranan,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pesakit perlu menyemak fakta sebelum mengambil rawatan alternatif, suplemen, makanan tambahan atau herba yang ditawarkan.

“Rujuk kepada pakar dan dapatkan penjelasan mengenai rawatan terbaik atau hubungi kumpulan sokongan kanser seperti Majlis Kanser Negara (Makna) atau Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi mendapatkan sumber yang sahih,” katanya.

Antara contoh laman web sahih ialah Penyelidikan Kanser United Kingdom (Canser Research UK) yang dapat membantu pesakit dan keluarga melalui penyampaian maklumat yang senang difahami umum.