THAILAND merupakan kota yang boleh dikunjungi untuk menghabiskan cuti hujung minggu. Ini kerana kedudukannya yang amat hampir dengan negara kita. Antara tempat yang boleh dilawati untuk menghabiskan cuti hujung minggu ialah berehat di kawasan pantainya.

Thailand, sebagaimana kita tahu, negara Gajah Putih ini memiliki lebih 100 pantai, kesemuanya mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Sebagai contoh, Koh Lipe, lebih dikenali sebagai “The Maldives of Thailand”.

Hanya lebih kurang sejam sahaja menaiki kapal terbang, menerusi Langkawi dan sejam lagi melalui jalan air, Koh Lipe sudah mampu anda jejaki.

Tidak perlu pening-pening mahu mencari lokasi menghabiskan cuti hujung minggu, kerana Koh Lipe adalah pilihan terbaik!

Ada beberapa perkara yang perlu dilakukan jika benar-benar mahu menikmati keseronokan dan rehat yang berkualiti di Koh Lipe.

Penulis ingin berkongsi empat perkara yang mesti dibuat semasa di Koh Lipe.

Menatap matahari terbit (gambar atas) dan matahari terbenam (gambar bawah) antara pengalaman paling menakjubkan jika bercuti di Koh Lipe, Thailand. - Foto Astro AWANI/Azlinariah Abdullah
1. Menatap matahari terbit dan terbenam
Koh Lipe, pulaunya hanya kecil sahaja. Ia dua kilometer panjang dan satu kilometer lebar. Dalam masa tidak sampai setengah jam, ketiga-tiga pantai di Koh Lipe, Pattaya, Sunrise dan Sunset Beach, siap diterokai.

Sebagaimana namanya, pemandangan matahari terbit paling memukau boleh disaksi di Sunrise Beach. Manakala matahari terbenam pula, keindahannya sangat mengasyikkan jika ditonton di Sunset Beach.

Apa yang pasti, menatap matahari terbit menyebabkan kita mengalu-alukan hari baharu, sekali gus mengajar erti bersyukur kerana masih bernafas.

Manakala, kepada kita, sebagai manusia, menyaksikan matahari terbenam pula menanam kekaguman tentang keindahan tiada tolok banding. Apa lagi yang lebih indah untuk tatapan kalau bukan sinar mentari jingga secara perlahan-lahan ditelan, sebelum muncul semula esoknya, di hari baharu.

Menyelam di dasar laut Koh Lipe memberi pengalaman seumur hidup kepada sesiapa yang melakukan aktiviti tersebut. - Foto Astro AWANI 2. Menyelam
Kerana air di pantai Koh Lipe sangat tenang, jernih dan bersih, tidak syak lagi, aktiviti pantai paling sesuai ialah menyelam. Ketika menyelam, dapat dilihat hidupan laut dan terumbu karangnya yang berwarna-warni. Koh Lipe terletak di kawasan salah sebuah taman laut negara terbesar di Thailand.

Terdapat pelbagai jenis karang di Koh Lipe, antaranya, karang lembut, batuan batu, taman-taman karang dan juga bangkai kapal menanti penyelam. Jika bernasib baik boleh melihat jerung paus, pari kola, ular laut dan seribu makhluk laut lain.

Seperkara yang jelas, anda akan kagum dengan bongkah batu gergasi, batu-batu besar dan rak karang yang berselerakan di bawah dasar. Nota penting, Koh Lipe dikelilingi pulau-pulau kecil, jurang dalam dan singkapan batu tenggelam, sekali gus menawarkan habitat yang baik untuk hidpan laut.

Antara lokasi tumpuan untuk menyelam termasuk Stonehenge atau Eight Mile Rock. Di sekitar Koh Sawang, Koh Phung dan Koh Tong juga terdapat banyak ikan yang menjadikan tempat hidupan kerana kedalamannya. Di sini, terdapat juga bangkai kapal Yong Hua (tinggalan kapal nelayan Thailand yang tenggelam di kawasan itu pada tahun 1996). Tempat ini juga sesuai untuk aktiviti menyelam.

Snorkeling antara aktiviti air yang tidak boleh dilepaskan jika bercuti di Koh Lipe, Thailand. - Foto Astro AWANI/Azlinariah Abdullah
3. Snorkeling
Kalau tidak mempunyai lesen menyelam, aktiviti lain yang boleh dibuat di Koh Lipe ialah snorkeling, cukup membolehkan kenangan dirakam seumur hidup dalam menghargai hidupan lain di air.

Koh Lipe mempunyai banyak tempat untuk aktiviti sukan snorkeling di kebanyakan pantai di sana, tetapi untuk menikmati keindahan karang terbaik, ia dapat dilihat jika menjelajahi ke pulau-pulau sekitarnya.

Berhampiran Pantai Sunrise terdapat sebuah taman karang yang indah untuk dinikmati, Koh Kra salah satu pulau yang indah dengan pemandangan batu karang. Begitu juga Koh Usen, yang tidak kurang indahnya.

Pantai Sunset (Sunset Beach) mempunyai beberapa taman karang kecil yang hebat tetapi sesuai diterokai semasa air pasang sahaja. Pihak pengurusan Taman Negara Tarutao menjadikan kawasan tertentu sebagai aset untuk aktiviti snorkeling. Ia merangkumi di sebelah timur bermula dari Taman Koh Rawi dengan direntang tali di sepanjang terumbu karang agar memberi keselesaan untuk aktiviti snorkel.

Mereka yang memlilih aktiviti snorkeling juga boleh ke Koh Bu Tang dan kawasan terumbu karang Sting Ray City. Kejernihan air yang biru firus memudahkan anda melihat ikan pari berenang. Monkey Bay juga sesuai untuk aktiviti snorkeling tetapi keadaan lautnya lebih curam dan mencabar. Begitu juga, Koh Lokoi, dikeliling 90 ekar karang yang cetek, sungguh, ia menawarkan pemandangan yang menakjubkan, sekali dalam seumur hidup.

Sebelum pulang ke Malaysia, jangan lupa singgah menikmati makanan unik Thailand, berurut, berhibur dan membeli-belah cenderahati di The Walking Street, Koh Lipe. - Foto Astro AWANI/Azlinariah Abdullah 4. Membeli belah di Walking Street
Tidak sah kalau ke ceruk mana di Thailand sekali pun, anda tidak menikmati makanan dan membeli-belah. Namakan apa sahaja makanan, semuanya di Thailand, unik, kreatif dan berbeza selain murah harganya.

Di Koh Lipe, anda boleh mendapatkan pelbagai jenis makanan Thailand di Walking Street. Ia kini berkembang pesat dalam rangkaian seluruh lorong berturap dan laluan pejalan kaki.

Di Walking Street, dibuka seawal 8 pagi tetapi meriah bermula 6 petang ke atas, anda boleh mendapatkan segalanya _ makanan, hiburan dan cenderahati. Paling penting jangan lupakan urutan, sama ada yang biasa atau yang mewah.

Cara ke Koh Lipe
Terdapat dua cara mudah untuk ke Koh Lipe dari Malaysia.

Cara 1:

Menaiki feri dari Langkawi di Telaga Harbour.

Harga tiket pergi balik untuk seorang adalah RM238, percuma untuk kanak-kanak bawah 3 tahun.

Boleh memilih dua waktu untuk menaiki feri – Pagi (9.30) dan Petang (2.30). Apa yang penting perlu sampai dua jam awal kerana banyak urusan harus dilakukan. Ini kerana urusan Imigresen mengambil masa yang lama.

Cara 2:

Memandu terus ke Pak Bara, Satun melalui Wang Kelian. Apa yang penting, jangan lupa bawa geran asal kereta untuk urusan imigresen Thailand. Harga tiket ialah RM154 pergi balik untuk dewasa.