MEMBANTU menyesuaikan kehidupan masa kini yang lebih rumit serta jurang yang wujud dalam perkhidmatan intervensi bagi fasa remaja dan dewasa adalah antara cabaran utama ibu bapa membesarkan anak autisme.
Walaupun terdapat limitasi akses kepada perkhidmatan intervensi, namun ibu bapa perlu membawa mereka berdepan dengan cabaran akan datang yang tidak pernah dialami oleh ibu bapa lain pada fasa sebelum ini.
Menurut Pakar Psikiatri yang juga Penolong Profesor Jabatan Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria, pendidikan dan kerjaya antara aspek perkembangan yang perlu diberi perhatian ketika proses membantu anak autisme membesar.
Aspek ini juga, katanya dilihat sebagai satu cabaran besar memandangkan masih ada jurang dalam intervensi yang memberi tumpuan kepada perkembangan fasa remaja dan dewasa.
“Terdapat kelompongan dari segi perkhidmatan dan sokongan yang ibu bapa boleh sediakan untuk mereka kerana intervensi pada fasa remaja dan dewasa tidak banyak diberikan perhatian ketika ini.
“Cabaran lain pula adalah membantu mereka untuk berupaya beradaptasi dengan perkembangan pendidikan, kerjaya dan kehidupan yang lebih rumit hari ini. Misalnya, pendedahan terhadap dunia digital yang boleh mengundang tekanan kepada sebahagian anak autisme,” katanya.
Beliau, bagaimanapun, mengakui keupayaan ibu bapa untuk memberikan sokongan penuh kepada perkembangan anak autisme masih lagi terhad.
“Walaupun sudah semakin banyak pusat-pusat intervensi awal, namun ia masih tertumpu di bandar-bandar besar dan kosnya masih agak tinggi, terutama yang ditawarkan oleh swasta.
“Pihak hospital kerajaan pula terhad dari segi kapasiti sumber manusia seperti pegawai intervensi, pakar terapi pertuturan dan jurupulih carakerja,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu, mengulas lanjut mengenai penekanan dan kaedah yang perlu diketahui oleh ibu bapa dalam berdepan situasi mencabar negara ketika ini, Dr Rozanizam menyarankan agar keperluan asas anak autisme sentiasa terjaga selain memastikan rutin kehidupan seharian mereka teratur.
“Jelaskan kepada anak-anak perubahan yang dijangka berlaku dengan bahasa yang mudah difahami seperti kaedah visual atau penceritaan dan sibukkan mereka dengan aktiviti bersama,” katanya.
Beliau yang menyambut baik kelonggaran diberikan oleh pihak kerajaan dalam memberi kebenaran ibu bapa membawa anak autisme ke sesi terapi, berkata keadaan ini penting kerana aktiviti rutin di luar juga memberi impak positif kepada anak-anak ini.
Namun, jelasnya, sudah tentu ia perlu dilakukan dengan mengikut saranan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mengulas isu sama, Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Rahima Dahlan @ Mohd Shafie, berkata menjadi satu dilema yang dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa memikirkan nasib anak-anak autisme setelah meningkat remaja dan memasuki alam dewasa.
Jelasnya, di Malaysia, keperluan program peralihan (transition) individu autisme ke alam dewasa masih terlalu kekurangan jika dibandingkan dengan negara membangun yang lain.
“Pada masa ini hanya terdapat segelintir usaha daripada keluarga yang mempunyai anak autisme dan juga syarikat tertentu.
“Namun, usaha ini masih perlu diteruskan dengan penambahbaikan serta sokongan kerajaan bagi memberikan peluang kepada remaja autisme untuk bekerja,” katanya.
Beliau berkata, perkhidmatan intervensi awal terutamanya di luar bandar juga dilihat masih kekurangan untuk memenuhi keperluan anak-anak di bawah usia tujuh tahun.
Jelasnya, inisiatif-inisiatif kerajaan, pusat perkhidmatan bukan kerajaan dan pusat perkhidmatan intervensi awal swasta dilihat amat bertepatan dengan keperluan masyarakat setempat.
Walau bagaimanapun, katanya, masih terdapat kekangan tertentu seperti faktor logistik, sumber kewangan dan kemampuan ibu bapa bagi mendapatkan perkhidmatan secara menyeluruh.
Diminta mengulas isu stigma masyarakat yang memandang mudah terhadap kebolehan anak autisme, Dr Rahima berkata ia lebih ketara jika dilihat pada situasi mereka yang mempunyai gejala tingkah laku yang agak mencabar dan sukar dikendalikan sehingga menyebabkan mereka dan keluarga disisihkan.
“Saya lebih ingin mengajak masyarakat untuk melihat kepada beberapa tokoh ternama dunia yang dikatakan mempunyai autisme dan dianugerahkan bakat luar biasa seperti Woody Allen, Sir Anthony Hopkin, Susan Boyle dan Jerry Seifeld.
“Mereka merupakan individu hebat yang terbukti mampu memberikan sumbangan positif dengan cara yang tersendiri,” katanya lagi.
Autisme kebiasaannya lebih dikaitkan dengan masalah ketidakupayaan intelek iaitu IQ di bawah paras 70.
Bagaimanapun, menurutnya, ada segelintir anak-anak autisme yang didapati mempunyai daya intelek (IQ) yang tinggi (menyamai genius) dan tidak kurang juga mempunyai tahap kebolehan luarbiasa (autistic savant) seperti menghafal, kebolehan dalam seni, muzik, matematik, komputer dan sebagainya.
Justeru, beliau mengingatkan kepentingan untuk ibu bapa dan masyarakat melihat anak-anak autisme sebagai individu yang mempunyai kepelbagaian kebolehan dan kekurangan, seperti mana kita melihat individu yang lain.
“Walaubagaimanapun, bagi meningkatkan fungsi dan kemahiran individu autisme ini, mereka memerlukan intervensi awal yang betul berserta sokongan, rangsangan, tunjuk ajar dan kasih sayang yang berterusan daripada ibu bapa dan semua pihak,” katanya.
TRIVIA:
* Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut setiap tahun pada 2 April.
* Autisme ialah sejenis gangguan perkembangan saraf yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak pada fasa perkembangan mereka menerusi tiga aspek penting iaitu kemahiran komunikasi, kemampuan bersosial dan tingkah laku yang berulang atau minat yang terhad.
* Ia empat kali lebih lazim berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.
* Walaupun masih belum diperolehi ubat atau rawatan khusus, usaha untuk intervensi awal amat penting untuk proses pemulihan dan peningkatan kemahiran terutama bagi persediaan mereka untuk persekolahan dan alam dewasa.
Najmi Syahiran Mamat
Thu Apr 02 2020
Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut setiap tahun pada 2 April. - Gambar Astro AWANI / Goh Pei Yee
Fahmi kesal Universiti Malaya jemput penceramah cetus kontroversi berkaitan Palestin
Beliau kesal terhadap Universiti Malaya kerana menjemput seorang penceramah warga asing yang mengeluarkan kenyataan mencetuskan kontroversi berkaitan Palestin.
Nahas helikopter Lumut: Mendiang Joanna Felicia disemadi dengan istiadat ketenteraan
Keranda mendiang diturunkan sekitar jam 11.20 pagi selepas upacara keagamaan berakhir, diikuti kawad hormat bersenjata disempurnakan oleh 12 pegawai dan anggota TLDM yang berpangkalan di Kuching.
DNB umum ahli lembaga pengarah baharu merangkumi lima pengendali rangkaian mudah alih
DNB melantik ahli lembaga pengarah baharu, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin kanan industri telekomunikasi dan teknologi.
Warga emas maut langgar penghadang besi di Gua Musang
Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya terlanggar penghadang besi di Jalan Persiaran Raya susur Taman Damar, Gua Musang.
Tun Abdullah dimasukkan ke IJN, dalam keadaan stabil - Keluarga
Keadaan Abdullah dilaporkan stabil dan masih dirawat di Unit Penjagaan Koronari (Coronary Care Unit).
[TERKINI] Tun Abdullah dimasukkan ke IJN, keadaan stabil
Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada Rabu kerana mengalami Small Spontaneous Pneumothorax.
[TERKINI] UM mohon maaf, ambil tindakan segera tangani situasi
Universiti Malaya kesal dengan kenyataan kontroversi penceramah jemputan warga asing yang tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular dalam laman media sosial.
Malaysia-Jepun tekad perkukuh kerjasama dalam sektor pembinaan
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perjanjian persefahaman dapat membuka peluang kepada pemain sektor pembinaan Malaysia meneroka pasaran Jepun selaras dengan pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan kedua-dua negara adalah ahlinya.
Hati-hati akaun fleksibel, guna sewaktu persaraan - Pakar
Pencarum seharusnya lebih berhati-hati dan merancangan kewangan dengan lebih baik susulan pengenalan akuan fleksibel Kwsp yang baharu.
Nahas helikopter Lumut: Jasad Sivasutan selamat disemadikan
Jasad mendiang turut diberikan kawalan kehormat oleh 14 pegawai dan anggota TLDM sebagai penghormatan terakhir.
Fasa peralihan mendewasakan anak autisme, cabaran generasi baharu
Membantu menyesuaikan kehidupan kini yang lebih rumit serta jurang yang wujud dalam perkhidmatan intervensi bagi fasa remaja dan dewasa adalah antara cabaran utama ibu bapa membesarkan anak autisme.