Festival Catur Putrajaya 2017 mencatat sejarah apabila menerima anugerah Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai pertandingan catur dengan penyertaan kanak-kanak paling ramai.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam ucapan penutup festival itu berkata penyertaan paling ramai menyerlahkan keazaman pelajar mencabar keupayaan diri selaras hasrat kementerian untuk melahirkan generasi muda yang memiliki keyakinan diri yang tinggi.

Festival yang berlangsung di Menara Seri Wilayah di sini terbuka kepada pelajar sekolah kebangsaan dan sekolah bertaraf antarabangsa dan disertai oleh 1,224 peserta berumur bawah 16 tahun.

Tengku Adnan turut menyaksikan majlis penyerahan anugerah kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 18 (1)), Salmiah Hashim selaku penganjur utama kejohanan itu yang disempurnakan oleh wakil MBOR Nurasyikin Ramli.

Beliau berkata permainan catur memerlukan kesabaran untuk mengkaji dengan teliti apa yang sedang berlaku dan bertanggungjawab ke atas tindakan yang dilakukan serta tidak membuat keputusan secara terburu-buru, satu sikap penting ke arah melahirkan generasi muda yang berketerampilan.

Catur merupakan sukan yang boleh mengajar kita banyak kemahiran dan nilai-nilai asas dalam permainan itu boleh diadaptasi dalam kehidupan seharian, katanya.

Festival sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan itu turut disertai lima pelajar orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan yang menggunakan papan catur braille. -- Bernama