PENGENALAN

Terletak di sudut paling utara benua Australia, kepulauan Tiwi adalah bumi asal untuk pribumi Australia dari kalangan etnik Tiwi.

Kepulauan Tiwi terdiri daripada 11 buah pulau tetapi yang berpenghuni cuma dua, iaitu Pulau Bathurst dan Pulau Melville.

Dikelilingi Laut Arafura yang membiru, kaum pribumi Tiwi tersorok dari pengaruh ketamadunan luar lebih dari 7000 tahun.

Ketamadunan kuno mereka tidak dapat ditemukan di mana-mana bahagian lain dunia.



Pulau Bathurst dan Pulau Melville adalah dua pulau terbesar dan berpenghuni, pusat kepada ketamadunan pribumi Tiwi.

Kaum Tiwi dipercayai pernah mengadakan hubungan perdagangan dengan pelaut Melayu dari Makassar yang sememangnya menguasai jalur laut di rantau ini sebelum kedatangan Eropah pada kurun ke 16.

Berfoto kenangan bersama ‘The First Australians’ – The Tiwis

Pulau Bathurst dan Pulau Melville dinamakan bersempena nama dua bangsawan British, Henry Bathurst dan Viscount Melville.

Tidak seperti kota-kota metropolitan Australia yang tersohor seperti Sydney, Melbourne, Perth ataupun Canberra, kepulauan Tiwi bukanlah destinasi pelancongan yang dituju bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Australia.

Pasti ramai yang tidak sedar akan kewujudan Pulau Bathurst ataupun Pulau Melville di hujung utara Australia ini.

Tiada perkhidmatan pesawat penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Wurrumiyanga (dikenali sebagai Nguiu sehingga 2010), pekan terbesar di Pulau Bathurst.


MESTI BACA: Kembara ke Papua: Wilayah Indonesia yang tidak didendang

MESTI BACA: Kembara ke Greenland dan Denmark: Tip penting untuk warga Malaysia


Perjalanan ke Wurrumiyanga memerlukan seseorang pengembara dari Malaysia untuk menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke kota Darwin, ibu negeri Wilayah Utara, Australia.

Dari Darwin, perjalanan ke Wurrumiyanga boleh diteruskan dengan pesawat catar yang disediakan oleh pelbagai syarikat penerbangan seperti DirectAir atau Fly Tiwi.


Menjengah Bumi Tiwi

Maklumat kos penerbangan pergi-balik (lebih kurang) Kuala Lumpur ke Darwin:


Saya memilih untuk terbang bersama JetStar. Akan tetapi waktu transit di Singapura sangat lama menjangkau 9 jam sekiranya terbang bersama syarikat penerbangan ini.

Jadi untuk ke Singapura bolehlah terbang dengan Air Asia, Tiger Air atau naik bas, naik keretapi atau pun memandu sendiri ke Johor Bahru, mana-mana yang lebih murah.

Saya memilih untuk naik Tiger Air ke Singapura kerana kosnya kurang dari RM100 untuk pergi-balik dan waktunya tepat (cuma 3 jam transit di Singapura).

Tips – Untuk mengelakkan kelewatan atau sebagainya, adalah dinasihatkan untuk tidur semalam di Johor Bahru atau tidak digalakkan memilih penerbangan Kuala Lumpur - Singapura terlalu dekat waktunya dengan Singapura – Darwin.

Pesawat Jetstar berlepas pada malam Jumaat, 10 Ogos 2014 dari Singapura menuju Darwin. Masa tempuh penerbangan ke Darwin adalah lebih kurang 4 jam.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran pada ketika itu. Adakah Wurrumiyanga semoden Darwin?

Bagaimana selamatkah kota Wurrumiyanga dan Pulau Bathurst yang dihuni kaum pribumi Australia untuk dikunjungi tetamu asing seperti saya?


Darwin-Wurrumiyanga

Kepulauan Tiwi adalah sebuah daerah di mana hutan tropika yang menghijau bergabung secara harmonis dengan laut yang membiru – kombinasi yang menambahkan pesona wilayah yang dianggap paling sepi dan berpenduduk amat jarang sekali di dunia.

Inilah yang saya dapat lihat ketika pesawat sedang terbang turun ke Lapangan Terbang Antarabangsa Darwin.

Perkara yang perlu diingat di setiap pintu masuk imigresen di Australia:


Lapangan Terbang Antarabangsa Darwin adalah lapangan terbang bersaiz sederhana dan moden dan dilengkapi pelbagai jenis kemudahan.

Barangkali saiznya kecil sedikit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Seperti bandar-bandar lain di Australia, Darwin adalah sebuah kota yang maju, moden, sejahtera dan dikelilingi taman.

Cuacanya yang mirip cuaca Malaysia membuatkan saya terlupa yang saya berada di Australia.

Kota Darwin terletak 11km dari lapangan terbangnya dan pengembara boleh ke pusat kota dengan menaiki bas ‘Darwin Airport Shuttle’ berharga AU$18 (sehala) atau AU$30 (pergi balik)

Tujuan utama saya ke Darwin bukanlah untuk ke kota ini sahaja tetapi untuk ke Pulau Bathurst di Kepulauan Tiwi.

Sememangnya saya telah bersedia lebih awal dengan membeli pakej pelancongan ke Pulau Bathurst yang berharga AU$450 dengan syarikat Tourismtopend.

Perkara yang perlu diingat untuk ke Wurrumiyanga, Pulau Bathurst:

Setelah menunggu selama 4 jam untuk matahari terbit, saya menuju ke terminal penerbangan catar untuk terbang ke Wurrumiyanga bersama DirectAir.

Pesawat catar itu hanya boleh memuatkan lima orang dan bersama saya adalah juruterbang dan tiga orang pelancong dari Eropah yang ikut serta untuk ke Pulau Bathurst.

Penerbangan ke Wurrumiyanga mengambil masa selama 20 minit dengan pemandangan paya, laut, darat, sungai dan langit yang sangat memukau.

Paya

Bathurst
Bathurst aerial view

Wurrumiyanga
Setibanya di Wurrumiyanga, saya menyertai 4 orang pelancong Eropah yang lain berkunjung di sekitar pulau tersebut.

Ketua rombongan berketurunan Tiwi, John, membawa kami ke pusat kraftangan Tiwi (yang diusahakan sendiri oleh kaum pribumi dibawah kelolaan kerajaan Australia), ke perkampungan Tiwi di mana tarian Tiwi ditarikan dan setelah itu ke Pantai Tarntippi, sebuah pantai yang indah yang dihuni banyak buaya air masin.

Karyawati

Kraftangan

John and George

Totem Tiwi
Wanita Tiwi

Pantai Tarntippi

Setelah berkunjung ke pantai Tarntippi, John membawa kami masuk ke hutan asli Tiwi yang mirip dengan apa yang kita ada di Malaysia.

Berbezanya hutan di Pulau Bathurst dan hutan di Malaysia ialah – sungai, kolam dan mata air (waterhole) di Pulau Bathurst banyak dihuni buaya-buaya air masin yang memang diketahui umum sangat ganas.

John membawa kami ke satu waterhole yang dikatakan tidak ada buaya dan mengundang kami semua untuk terjun. Akan tetapi, tidak ada seorang pun dari kami yang berani terjun ke dalam air – akhirnya hanya John yang berenang di situ.


Waterhole di Bathurst

Biawak ‘Frilled-neck’
Setelah seharian berkunjung ke Pulau Bathurst, tibalah masanya untuk pulang ke Darwin. Pesawat dari Padang Terbang Pulau Bathurst berlepas pada jam 5.30 petang dan tiba di Darwin tidak lama kemudian. Kota Darwin dapat dilihat dari jendela pesawat ketika pesawat terbang turun.

Darwin
Demi untuk menjimatkan kos, saya membuat keputusan untuk tidur sahaja di lapangan terbang terbang untuk satu malam.

Keesokan harinya, saya mengambil keputusan untuk bermalam di salah satu backpackers yang terdapat di situ dan saya telah memilih Darwin YHA yang hanya 850 meter dari pusat bandar Darwin.

Harga untuk satu malam adalah AU$48 (RM150) dan penginapannya sangat bersih, rapi dan lengkap dengan kemudahan wifi dan sebagainya. Makanan halal agak mudah dicari di Darwin.

Setelah menghabiskan masa sehari di kota Australia terbesar di wilayah utara ini, tibalah masa untuk saya pulang ke Malaysia.

Orang-orang Tiwi memang ramah dengan senyuman dan tetap kekal dengan budaya, bahasa dan mengamalkan amalan nenek moyang mereka sehingga kini walaupun tanah yang mereka pijak dan bumi yang mereka junjung kini ditadbir oleh pendatang kulit putih.

Sekiranya ada kesempatan, ingin sekali saya menjengah bumi Tiwi lagi, bumi yang jarang dijejak oleh kebanyakan pengembara Malaysia.

Kanak-kanak pribumi


Mohd Hazmi bin Mohd Rusli (Ph. D) adalah pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di School of Law, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.