LIMA kilometer sahaja larian The Edge Kuala Lumpur Rat Race tetapi ia amat memenatkan!

Mana tak penat, kena lari pada pukul 3:45 petang dan bersedia sejak 2:30 petang di tengah cuaca panas pada suhu 35 darjah selsius.

Badan orang kita, orang Malaysia selalunya tidak biasa berlari pada waktu awal petang ini, maklumlah pada waktu ini kita sedang sibuk di depan meja komputer.

Ini pengalaman kami, pasukan Astro AWANI yang dibarisi saya bersama penyampai Nazri Kahar, Khairunissa Kasnoon, Marlina Manaf dan Sophia Amir.

Kilometer pertama amat menguji kekuatan mental kami kerana melibatkan pendakian bukit di Jalan Tun Ismail melalui Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Jalan Sultan Salahuddin melalui Kompleks Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga mercu tanda lain di bandar Kuala Lumpur seperti Tugu Negara, Bangunan Parlimen dan juga Bank Negara Malaysia.

#TeamAwani dari kiri Nazri Kahar, Ian Johan Ariff, Sophia Amir, Khairunissa Kasnoon dan Marlina Manaf.

Keseluruhan pendakian yang dibuat dalam larian sejauh 5.3 kilometer itu berjumlah 102 meter dan saya berjaya menghabiskan larian dengan masa tidak rasmi 33 minit dan 30 saat.

Biasanya saya melengkapkan larian sejauh lima kilometer dalam tempoh kurang 30 minit, namun dengan pendakian dan cuaca yang panas ini, saya terpaksa akur dengan kekurangan ini.

Siapa menang atau siapa kalah dalam perlumbaan Rat Race ini tidak penting kerana tujuan utama penglibatan kami adalah untuk bersatu dan beramal.

Itulah objektif utama The Edge KL Rat Race yang diadakan sejak tahun 2000.

Astro turut menyumbang dalam usaha untuk membantu badan-badan kebajikan dan berkhidmat sebagai stesen televisyen dan radio rasmi bagi KL Rat Race tahun ini.

Tahun ini, The Edge Kuala Lumpur Rat Race berjaya mengumpul dana amal sebanyak RM1.42 juta, RM42,000 lebih banyak daripada kutipan tahun lepas.

48 ketua pegawai eksekutif terlibat sama dalam larian tahun ini dengan 59 syarikat terlibat menderma dan menghantar 92 pasukan untuk menyertai larian tahun ini.

RM162,000 turut diderma kepada Tabung Harapan Malaysia seperti yang dijanjikan penganjur untuk menyumbang 30% daripada dana yang dikumpulkan.

Walaupun panas dan memenatkan, ia adalah untuk bersama bagi tujuan yang murni dan kita harap akan berjumpa lagi dalam The Edge Kuala Lumpur Rat Race tahun depan!