Pemakanan atau diet berasaskan cecair boleh mengatasi masalah obesiti yang kian meningkat di negara ini.

Pendapat ini dikemukakan oleh ketua kumpulan penyelidik makanan dan obesiti Universiti-Ulm Jerman Dr Marion Flechtner-Mors yang telah mengkaji secara terperinci mengenai diet, khususnya diet berasaskan cecair, dan kaitannya dengan obesiti lebih 20 tahun.

Kajian itu mendapati bahawa formula diet cecair atau 'shake' bukan sahaja boleh membantu mencegah masalah obesiti tetapi ia juga menbantu mengekalkan berat badan yang sedia ada.

"Shake boleh digunakan untuk menurunkan berat badan , dan pengurusan berat badan. Kita boleh sekurang-kurangnya mengambil satu Shake sehari untuk mengekalkan berat badan.

"Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan boleh mengambil dua shake, dan ini sangat efektif kerana kandungan kalori terkawal. Seseorang boleh tahu kuantiti kalori yang diambil," kata Dr.Marion.

Shake ini boleh menggantikan sarapan , makan tengah hari atau makan malam kerana ia mengandungi semua jenis nutrien yang diperlukan oleh badan.

Dr.Marion berkata kadar obesiti di Malaysia hampir cecah 50 peratus dan angkanya semakin meningkat.

Walaupun ramai mengetahui keadaan ini disumbang oleh budaya pemakanan yang tidak sihat, ramai belum mahu mengubah tabiat pemakanan.

"Orang ramai suka sangat makan, itulah masalahnya.Mereka tidak mengenali atau tidak berfikir untuk melakukan sesuatu terhadap tabiat itu.Kewujudan pelbagai tempat makanan juga tidak menjadikannya mudah kerana kita sentiasa makan dan kita makan dengan terlalu banyak," kata Dr Marion yang mengambarkan krisis obesiti menggerunkan.

Selain menyumbang kepada masalah penyakit metabolik seperti penyakit kardiovaskular dan diabetik, obesiti juga boleh menyebabkan seseorang itu menanggung kos rawatan yang sangat tinggi.

Dr Marion mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan nasihat doktor sebelum memulakan program pengurangan berat badan.

Beliau juga menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat selain menjaga tabiat makanan bagi atasi krisis obesiti ini.