KITA disyorkan minum enam hingga lapan gelas air sehari, tetapi jumlah ini meningkat secara mendadak dalam cuaca panas.

Di Amerika Syarikat, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Arizona pernah mengeluarkan amaran kepada orang ramai agar mengambil satu hingga dua liter minuman dalam tempoh sejam sewaktu negara itu dilanda heat wave.

Hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mengeluarkan kenyataan beberapa negeri di seluruh Semenanjung yang mengalami fenomena haba dengan suhu 36.9 darjah Celcius.

Astro AWANI senaraikan beberapa tip untuk membantu anda kekal cergas dan sihat dalam cuaca panas ini.

BACA: Awas! Hati-hati fenomena gelombang haba di Malaysia

- Elakkan aktiviti fizikal di luar rumah pada sekitar jam 12 tengah hari hingga 4 petang. Waktu yang sesuai untuk beriadah ialah sebelum jam 9 pagi dan selepas 5 petang.

- Pakai baju yang longgar, pilih kain yang menyerap peluh dan tidak mengumpul haba

- Elakkan mandi dengan air dari water heater

- Perbanyakkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari kerana ia juga membantu membekalkan air dan pelbagai jenis nutrien.

- Kurangkan pengambilan kopi, teh dan minuman bergas.

- Selain air masak, anda juga mempunyai pilihan untuk mengambil air berikut:

Air kelapa

Tinggi sumber protein, air kelapa asli tanpa campuran gula berkesan untuk menggantikan air yang hilang daripada badan anda dalam cuaca panas.

Susu tanpa lemak/ susu skim

Tinggi kandungan protein, karbohidrat, kalsium dan elektrolit, susu secara semulajadinya boleh membantu menambah kandungan sodium yang hilang apabila badan aktif atau berpeluh.

Jus buah-buahan/sayuran

Buat sendiri jus buah-buahan di rumah. Antara yang boleh diamalkan ialah jus tembikai dan timun, bukan sahaja membantu menghidrasi tetapi juga mengalas perut.