SELAIN membantu pasukan-pasukan Liga Malaysia mencari dana yang mencukupi, Tunku Ismail Sultan Ibrahim tiada matlamat lain dalam peranannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hal itu penting, kata Tunku Ismail atau TMJ, kerana kewangan yang stabil menjadi titik tolak pembangunan dan kemajuan sesebuah pasukan.

Perkara itu diluahkannya dalam satu video bertajuk "Azam Tahun Baru 2018 - DYAM Tunku Mahkota Johor" yang dimuat naik ke akaun Facebook rasmi Johor Southern Tigers hari ini.

Beliau juga mendedahkan perancangannya untuk meninggalkan kerusi Presiden FAM, selewat-lewatnya tahun hadapan.

"Saya takkan lama di FAM, saya merancang untuk meninggalkan FAM pada 2018 atau 2019.

"Lagi cepat, lagi bagus. Harapnya, ada 'Superman' yang akan menggantikan tempat saya nanti," kata TMJ.

Bagi perancangannya untuk pasukan Johor Darul Takzim (JDT) pula, beliau mahu melihat kelab itu lebih berjaya dan dihormati pada masa akan datang.

"Saya teruja menantikan 2019 kerana saya yakin kualiti JDT ketika itu akan bertambah baik," ujarnya.

Selain isu bola sepak, video berdurasi kira-kira lima minit itu turut menyaksikan TMJ diajukan pelbagai pertanyaan, dari warna kegemarannya sehinggalah ke pekerjaan yang mungkin dilakukannya sekiranya beliau bukan Tunku Mahkota Johor.

TMJ juga sempat memberikan jawapan sinis yang ditujukan kepada haters beliau.

"Kalau jumpa mereka (haters), saya nak masukkan mereka dalam kandang buaya, nak tengok berapa laju mereka boleh berenang.

"Atau, mungkin mereka boleh berlari di atas air?" katanya.