Siapa sangka hobi membela burung ketitir memberi pulangan lumayan sehingga mampu menjana pendapatan mencecah RM100,000 sebulan.

Pemilik syarikat Hassan Tumpat Kelantan Malaysia (HTKM) Bird Farm Che Hassan Mat berkata beliau mampu meraih pendapatan mencecah enam angka hasil jualan kira-kira 20 ekor anak burung ketitir peliharaannya yang berharga antara RM5,000 dan RM10,000 seekor.

Che Hassan, 68, berkata anak burung ketitir hasil kacukan baka Thailand dan Indonesia yang diusahakannya itu mendapat sambutan yang tinggi daripada peminat burung tempatan, selain mendapat permintaan dari Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Malah, sebahagian peminat burung ketitir meninggalkan deposit awal untuk menempah anak burung yang masih belum menetas kerana tidak mahu terlepas ke tangan orang lain," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jubakar Darat di sini, hari ini.

Selain menjual anak burung ketitir, Che Hassan turut menjual burung ketitir dewasa untuk tujuan pertandingan kepada pelanggannya di seluruh negara selain Thailand, Indonesia dan Singapura.

Beliau berkata sejak menjalankan perniagaan itu lebih 30 tahun lepas, beliau pernah menjual burung ketitir dewasa dengan harga RM120,000 seekor kepada seorang ahli perniagaan dari Thailand.

Che Hassan Mat, 68, bersama burung ketitir kelas A yang dimilikinya di Kampung Jubakar Darat

Setakat ini kira-kira 2,000 ekor burung ketitir dewasa dijual kepada peminat burung tempatan dan luar negara.

Mengimbau sejarah pembabitannya dalam perniagaan ini Che Hassan berkata pada awalnya beliau hanya memelihara burung sebagai hobi, namun mula menjadikannya sebagai perniagaan selepas menyertai pertandingan di beberapa negara jiran.

"Bermula dari situ saya mula fokus kepada perniagaan ini dengan membina beberapa buah reban untuk menempatkan kira-kira empat pasang ketitir sebagai permulaan.

"Berikutan permintaan yang semakin meningkat jumlah reban ditambah dari semasa ke semasa dan saya kini memiliki 40 buah reban dengan 40 pasang ketitir," katanya.

Biak baka bermutu

Che Hassan berkata kebanyakan baka ketitir dibeli di Thailand dan Indonesia dengan harga mencecah RM63,000 seekor bagi ketitir jantan dan RM8,000 hingga RM25,000 bagi ketitir betina.

Beliau berkata pemilihan baka burung amat penting bagi mendapatkan anak ketitir yang bermutu dari segi 'air suara' dan fizikal burung.

Che Hassan berkata beliau meluangkan masa selama dua jam sehari untuk membersihkan reban bagi memastikan burungnya sentiasa sihat dan bebas penyakit.

"Ia mungkin bukan kerja mudah tetapi bagi saya masa bersama burung peliharaan ibarat terapi dan lebih mendekatkan saya dengan 'mereka'. Ia menjadi rutin tetap saya sepanjang lebih 30 tahun.

"Tetapi saya amat berpuas hati kerana dari hasil jualan burung inilah saya menyara isteri dan tujuh anak sehingga ke universiti selain membina dua buah rumah," katanya.

Che Hassan bersama sebahagian daripada piala yang dimenanginya dalam pertandingan. - Foto BERNAMA

Ketitir berkualiti

Beliau berkata burung ketitir kelas A mempunyai kualiti yang baik dari segi 'suara depan', 'jalan', 'air suara' dan 'hujung' (kong) dan semua itu hanya mampu dinilai oleh mereka yang berpengalaman dan pakar dalam seni suara burung.

Che Hassan yang juga pengadil pertandingan seni suara burung ketitir sejak 30 tahun lepas meraih pelbagai kejayaan hasil pertandingan burung ketitir peliharaannya termasuk memenangi hadiah kereta selain lebih 1,000 piala kemenangan.

Beliau berkata kemahiran dan pengalaman beliau dalam memelihara burung ketitir kini dikongsi bersama dengan anak lelakinya Amir Syarifudin, 31, yang mempunyai minat sama seperti beliau.

-- BERNAMA