Pelajar atau murid-murid yang datang lewat ke sekolah akan dihukum dengan aktiviti bercucuk tanam dan membersihkan kawasan kebun di sekolah.

Guru disiplin Sekolah Kebangsaan Jalan Air Panas, Ibrahim Ismail berkata program yang dinamakan sebagai ‘Donbel’ ini dilihat dapat mendisiplinkan murid-murid di sekolah apabila kadar kehadiran yang lewat semakin berkurangan.

Katanya, pelajar yang lewat melebihi lima kali akan diberi surat amaran serta sesi kaunseling dan jika masih berulang, pelajar akan melalui proses ‘Mahkamah Pembentukan Sahsiah’ sebelum diambil tindakan.

Ibrahim berkata, ini merupakan salah satu bentuk denda yang tidak mengganggu fizikal dan mental pelajar malah ia dapat memberi suntikan minat bercucuk tanam disamping sebagai satu kaedah pembelajaran mengenali jenis tanaman dan tumbuhan.

‘Setiap pelajar yang lewat, satu buku merah akan diberikan dengan cop kehadiran akan direkodkan’

‘Kita mengambil inisiatif menyediakan kebun dengan pelbagai jenis tanaman. Sehubungan itu, pelajar yang datang lewat ke sekolah terpaksa berkebun dan rekod kehadiran kerana lewat juga akan diambil’

‘Bagaimanapun, pelajar yang didenda atau dihukum berkebun, akan turut diberi ganjaran seperti sijil, button badge dan agihan jualan hasil dari kebun berkenaan dan ia akan ditarik balik jika kesalahan yang sama berulang,’ katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Ibrahim, selain mengajar pelajar menghormati masa dan datang sekolah tepat pada masanya, program seumpama ini juga diharap memberi satu suntikan semangat untuk pelajar lebih dekat dengan hobi dan aktiviti bercucuk tanam.