Peluang untuk menaiki kapal terbang dan melihat awan biru mungkin sesuatu yang biasa dalam kalangan kanak-kanak zaman ini.

Bagaimanapun bagi 134 kanak-kanak kurang bernasib baik dari empat rumah anak yatim di Selangor dan Perak serta pesakit kronik, peluang keemasan itu mungkin datang hanya sekali.

Usaha penganjur program Kawan Awan Sayap Impian, Rimba Raid menjadikan ia hari istimewa buat kanak-kanak ini.


Keterujaan jelas terpancar di wajah insan kecil ini sebaik sahaja mereka dibawa ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang Jaya pada Sabtu.

Lebih mengembirakan apabila mereka dibawa menaiki pesawat Malindo Airways ATR72 yang disewa khas mengelilingi Kuala Lumpur dimana antaranya pandangan indah Menara Berkembar Petronas di bawah mereka.

“Kami menaiki kapal terbang buat kali pertama. Ia membuatkan kami pening, kami rasa nak termuntah. Apabila kami melihat ke bawah, naik bulu roma kami,” kata salah seorang peserta, Putri Nur Aina Mohd Faizal.

Ada juga yang berasa sungguh teruja dan kelihatan senyuman lebar yang terukir di wajah mereka.

“Pengalaman tadi memang amat seronok! Saya berasa takut dan gayat juga. Tetapi saya berharap dapat ke sini lagi untuk menaiki kapal terbang pada masa depan,” kata seorang lagi peserta, Iman Muqmin.

Kanak-kanak istimewa yang menghadapi penyakit kronik, Muhammad Haiqal, turut berkongsi sentiment yang sama.

“Rasa seronok la!” ujar Muhammad Haiqal.

Anak yatim, Jessi Supramaniam, turut berkata dia berasa amat gembira bahawa anak-anak yatim juga berpeluang menaiki kapal terbang. 

“Saya sangat gembira dan tidak sama sekali sangka anak-anak yatim berpeluang menaiki kapal terbang. Oleh itu, saya amat gembira,” kata Jessi.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rimba Raid, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, inisiatif yang bertujuan memenuhi impian kanak-kanak ini diharapkan mampu membakar semangat mereka mengorak langkah demi masa depan yang lebih gemilang.

“Kami ingin memberikan harapan. Oleh itu, kami menamakan program ini sebagai Sayap Impian seperti ‘Wings of Hope’.

“Kami juga mencari juruterbang yang tidak berasal daripada keluarga yang berada. Kami ingin memberi inspirasi kepada kanak-kanak yang hadir hari ini bahawa orang miskin dan kurang bernasib baik juga boleh berjaya.

“Jika mereka boleh menjadi juruterbang, apa salahnya kami berkongsi pengalaman supaya juruterbang tersebut boleh memberi motivasi kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik ini untuk berjaya,” kata Kapten Nik Huzlan ketika ditemui selepas program Kawan Awan Sayap Impian tersebut.

Antara rumah anak yatim yang dipilih menyertai program ini termasuk Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al Munirah, Yayasan Dr Izani Tanjung Malim, Padmasamabahaya Children Loving Association dan Persatuan Kebajikan Rakan Lutheran Selangor.