Kita sering mengeluarkan perkataan 'malas', 'boleh lah' dan juga 'ala kadar' dalam melakukan kerja seharian kita.

Mungkin sesetengah daripada kita hanya bergurau tetapi inilah kenyataannya yang sering kita dengar.

Sesetengah individu pasti tidak menyedari bahawa sikap ini boleh membuatkan kita menjadi kurang produktif dan mungkin tidak akan berjaya mencapai apa yang kita inginkan.


Bagi personaliti televisyen Astro AWANI, Ashwad Ismail berkata, kehidupannya didorong berdasarkan apa yang ingin dia capai pada hari tersebut kerana baginya hidup ini mempunyai tiga jangka hayat iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan panjang.

Ashwad Ismail

Ashwad juga memulakan harinya dengan aktiviti tenis yang dilakukan setiap hari bermula setiap 7 pagi untuk menjadikan hidupnya lebih bertenaga dan produktif sepanjang hari.

“Bagaimana saya jadikan hidup saya produktif dan bertenaga saya akan mulakan hari saya dengan bermain tenis setiap 7 pagi selama satu jam untuk membuatkan saya terus bertenaga dan fokus,” katanya.

Menyentuh mengenai falsafah hidupnya pula, Ashwad berkata falsafah hidupnya ialah ingin melakukan yang terbaik setiap hari kerana setiap hari kita mempunyai cabaran yang berbeza.

Bagi Cynthia Ng pula, apa yang dia akan lakukan adalah menyusun jadualnya sebelum tidur. Itu lebih mudah untuk membahagikan kerjanya dalam memastikan apa yang lebih utama untuknya lakukan dahulu.

Cynthia Ng

Cynthia berkata, beliau akan memulakan harinya dengan bersenam di gimnasium selama 30 sehingga 45 minit sebelum memulakan harinya.

Cynthia, 33 tahun, juga berkata cabaran bekerja di industri media membuatkan dia perlu berdisiplin dalam melakukan kerjanya supaya dia akan mempunyai masa untuk dirinya dan juga keluarga.

“Falsafah hidup saya ialah disiplin dan perlu memastikan saya mempunyai masa untuk diri sendiri melakukan aktiviti yang saya suka seperti menonton filem, membaca buku dan meluangkan masa bersama keluarga ketika hujung minggu,” katanya ketika ditemu bual.

Sebagai rakyat Malaysia, ayuh kita tingkatkan kesedaran untuk menjadi lebih produktif dalam kehidupan kita seharian.