BULAN Ramadan yang dijalani dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memberi manfaat kepada semua dalam aspek meningkatkan amal ibadah dengan lebih baik berbanding dari tahun yang sebelumnya.

Dengan aplikasi Ibadah Tracker, amal ibadah yang direkodkan akan disimpan di storan awan (cloud) dan boleh dirujuk pada bila-bila masa sehingga ke akhir hayat.

Menurut pengasasnya, Syed Huzaifah Syed Omar, dengan Ibadah Tracker juga, umat Islam boleh membandingkan amalan pada tahun sebelumnya sekali gus dapat memperbaiki kelemahan diri.

“Ini merupakan aplikasi yang membolehkan umat Islam merekodkan ibadah harian mereka di bulan Ramadan termasuk berpuasa, solat terawih, witir, bersedekah dan sebagainya.

“Jadi, sebagai ibu bapa, mungkin kita boleh melihat dan pantau ibadah yang anak kita lakukan di rumah dan juga kita boleh memastikan bahawa pada keesokan harinya, amalan kita dan anak-anak lebih baik dari hari yang sebelumnya.

“Di samping itu, aplikasi ini dapat membantu untuk mengeratkan hubungan antara ahli keluarga walaupun sedang menjalani tempoh PKP.

“Pelajar juga makin seronok (bermotivasi) untuk melakukan ibadah apabila mereka mendapat mata ganjaran (dalam aplikasi) apabila melakukan ibadah dan boleh melihat rekod mereka tersenarai dalam ‘leaderboard’," jelas Syed Huzaifah.

Dengan Ibadah Tracker, umat Islam boleh membandingkan amalan pada tahun sebelumnya sekali gus dapat memperbaiki kelemahan diri.

Pada asalnya, aplikasi ini merupakan sistem untuk merekod sahsiah pelajar di sekolah, namun kini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk memantau aktiviti ibadah setiap ahli keluarga.

“Kita boleh memantau amal ibadah anak pertama, kedua dan ketiga dan aktiviti yang mereka lakukan, sepanjang hari dan sepanjang bulan Ramadan.

“Jadi, setiap aktiviti ini kita boleh lihat mata (point) yang mereka dapat tapi konsep dia seperti ‘gamification’,” tambahnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Melalui aplikasi ini juga, pelbagai jenis ibadah boleh direkod termasuklah perlaksanaan solat-solat sunat, pembacaan al-Quran, pemberian sedekah, bacaan kuliah dan banyak lagi.

Dengan itu, orang ramai boleh mendapat manfaat menerusi Ibadah Tracker dengan memuat turun di Play Store sekarang. Manakala bagi versi Apple Store pula, aplikasi itu akan diterbitkan dalam masa terdekat.