PERNAHKAH anda melihat sesuatu kraf tangan yang menarik perhatian anda di laman sosial?

Tidakkah timbul rasa ingin mencuba membuat kraf tangan tersebut? Jika ya, kenapa tidak anda cuba membuatnya sendiri dengan berpandukan video di YouTube, Instagram atau Twitter?

Laman sosial bukan sahaja tempat untuk kita bersosial, tetapi ia juga boleh menjadi tempat untuk kita berkongsikan sesuatu.

Melihat begitu ramai individu di laman sosial yang berkongsi kreativiti serta idea mereka, kenapa kita tidak jadikan ia sebagai hobi dan serlahkan kreativiti melalui idea yang dikongsikan itu?

Berikut merupakan beberapa hobi yang anda boleh pelajari di dalam talian.


Sulaman

Sulaman kain

Jika anda gemar menonton video sulaman di Instagram, mengapa tidak hasilkan kraf itu sendiri?

Terdapat banyak tutorial sulaman asas yang terdapat di YouTube. Malah, laman Pinterest juga memberikan anda idea untuk menghasilkan corak yang mudah dan berguna. (Tip: Cari di kekunci carian "corak jahitan silang.")

Setelah mempelajari asas-asas jahitan, anda boleh bereksperimen dengan ciptaan sendiri pula!





Penjagaan tumbuhan

Penjagaan tumbuhan

Sekiranya anda seorang pencinta alam, anda boleh pertimbangkan untuk bercucuk tanam.

Kemudahan internet membolehkan anda membeli biji benih atau pokok secara dalam talian.

Anda juga boleh bereksperimen dengan cara penanaman pokok di pasu supaya ia tumbuh dengan sihat dan cantik.

Di laman YouTube juga, anda boleh pelajari cara penjagaan dan info mengenai pokok yang anda tanam.


Berjugal

Juggling

Juggling atau berjugal adalah perkara yang menyeronokan! Ia merupakan permainan melambung dan menangkap objek secara berterusan.

Kebiasaannya ia dimainkan di parti seperti majlis hari jadi dan sebagainya.

Anda boleh mempelajarinya melalui tutorial di laman YouTube. Berlatih dahulu di dalam bilik menggunakan lemon atau apa sahaja objek kecil.

Lama kelamaan, pasti rakan-rakan anda akan terkejut melihat kehebatan anda melakukan aksi juggling.


Photoshop

Photoshop

Tidak ada alasan sebenarnya untuk belajar Photoshop. Malah, mempelajari Photoshop boleh membantu anda mendapatkan pekerjaan atau meningkatkan nilai tambah di dalam résumé anda.

Tahukah anda Adobe menawarkan tutorial sendiri, yang mana anda boleh gunakan untuk memahami asas-asasnya.

Anda juga boleh melihat saluran di YouTube untuk mempelajarinya dengan lebih khusus.


Pelajari resepi Mocktail

Mocktail

Mocktail merupakan minuman campuran daripada buah yang beraneka pilihan dan setiap campuran minuman itu menghasilkan rasa yang berbeza serta unik.

Di internet, anda boleh mempelajarinya menerusi blog-blog, perkongsian resepi dan video-video.

Anda boleh bereksperimen dan mungkin boleh menghidangkannya kepada tetamu yang datang ke rumah.


Gubahan bunga

Gubahan bunga


Peminat bunga-bungaan semestinya suka dengan hobi ini.

Selain daripada cantik diletakkan di sudut rumah, bunga juga mempunyai manfaat terapeutik. Mungkin sesetengah anda tidak dilahirkan dengan kreativiti untuk mengubah bunga, tetapi anda boleh pelajarinya di laman YouTube.

Terdapat banyak kelas gubahan secara maya yang tersedia di internet. Tidak menghairankan, Instagram penuh dengan beberapa akaun kedai bunga yang sangat cantik yang boleh beri anda inspirasi.


Tonton filem dan drama dalam talian

Filem dan siri online

Hobi ini semestinya ramai yang lakukan bukan? Dalam mengisi masa lapang, mungkin ada yang lebih gemar melakukan aktiviti yang lebih santai.

Hobi menonton filem, menonton TV, dan mendengar muzik juga dianggap sebagai hobi. Oleh itu, jika anda rasa anda sering menonton banyak filem dan drama bersiri, anda sebenarnya telah mengisi masa anda dengan hobi.

Kini bukan sahaja banyak filem dan drama bersiri yang anda boleh tonton secara dalam talian, malah saluran berita juga kini boleh ditonton secara atas talian dalam bentuk platform telefon pintar dan computer riba.

Sebagai contoh, laman web Astro AWANI yang sering menyediakan laporan berita menyeluruh dalam dan luar negara.


Kaligrafi

Kaligrafi

Sebenarnya YouTube penuh dengan tutorial tulisan tangan, jadi anda boleh mengasah teknik kemahiran kaligrafi anda sebelum menggunakannya di dalam kad ucapan orang tersayang.

Terdapat juga laman web kaligrafi juga menawarkan beberapa tugasan kerja, latihan, dan video percuma yang boleh anda gunakan untuk berlatih.


Kumpul barangan antik

barangan antik

Umumnya anda kini boleh mencari kedai barangan antik di Instagram dengan mudah.

Ia merupakan hobi yang menarik kerana memerlukan usaha yang tekun dalam mencari barangan antik di seluruh tempat. Malah, barangan antik juga mempunyai nilai yang tinggi selain nilai sentimental yang tinggi.

Jika anda tahu di mana untuk mencari dan melakukan tawar-menawar, maka anda boleh mendapatkan keuntungan yang lumayan