“Ia daripada kisah nenek saya yang terjatuh di sebuah pusat jagaan orang tua. Kakinya patah dan bermula daripada situ, saya mendapat inspirasi.”

Itulah kata-kata ketua pasukan HealthSight, Lim Ji Chen yang mencipta kamera teknologi kecerdasan buatan (AI) sambil dibantu dua rakannya iaitu Chin Linn Kern dan Chin Hung Vui.

Kumpulan tersebut yang juga mewakili Malaysia dalam kejohanan Imagine Cup Asia 2018 anjuran Microsoft Corporation, ditemu bual oleh Astro AWANI di ibu negara.

Lim Ji Chen menjelaskan, kamera teknologi AI itu dicipta bagi menambah baik sistem perkhidmatan kesihatan dengan membantu pesakit dan golongan orang tua di hospital atau di pusat jagaan orang tua.

“Kamera itu mampu merakam pergerakan pesakit dan sekiranya terdapat pesakit yang jatuh, cedera, atau mengalami sebarang masalah, kamera itu boleh memberitahu jururawat untuk bertindak segera,” kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI.


Walaupun gagal meraih kedudukan tujuh terbaik dalam Imagine Cup Asia 2018, ketua pasukannya yakin idea mereka mampu digunakan untuk masa depan.

Ujarnya lagi, kamera itu juga boleh diaplikasikan dalam sistem pertahanan.

Kamera AI itu mampu merakam wajah pelaku jenayah dan memudahkan proses siasatan dijalankan pihak polis.

Dalam pertandingan itu, tujuh pasukan daripada 15 pasukan seluruh Asia yang bertanding telahpun dipilih bagi menyertai kejohanan dunia di Seattle, Amerika Syarikat (AS).

BACA: Cipta alat pengesan kualiti buah nanas, pasukan Malaysia juarai Imagine Cup Asia 2018