Sejak empat tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memajukan progam komuniti pencipta di Malaysia menerusi 'inisiatif myMaker', program berasaskan teknologi sebagai pencetus inspirasi dalam kalangan remaja.

Pengarah Jabatan Gaya Hidup dan Masyarakat Digital MCMC, John Tay berkata, inisiatif itu bertujuan melahirkan masyarakat kreatif dan pencipta menerusi pelan komprehensif dan program asas bagi memupuk 'minat mendalam' untuk berusaha menghasilkan ciptaan.

Mensasarkan pencipta inovasi dan profesional muda, beliau berkata inisiatif myMaker mahu menyatukan masyarakat untuk berkongsi dan membina daya kreatif dan inovasi agar kemahiran mereka itu dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

"Pada asasnya, kita mahu mereka mengitar semula, mengubah atau membaiki sesuatu kerosakan untuk dijadikan sesuatu yang berguna, tanpa membazirkan sumber.

"Dalam budaya Amerika Syarikat (AS), mereka menggalakkan kreativiti sejak dari kecil... hingga menyebabkan orang begitu berminat melakukan inovasi," katanya kepada pemberita semasa Pameran Sains Kejuruteraan Kuala Lumpur (KLESF) 2016 di sini pada Sabtu.

Budaya komuniti pencipta bermula di Bay Area, California, AS pada 2006.

Malaysia kemudian menerima pakai konsep itu bermula pada skala kecil.

Tay berkata MCMC mempunyai makmal 'Internet of Things (IoT)' di Cyberjaya, satu platform untuk kanak-kanak dan pelajar dibimbing dari latihan inovasi asas hingga program lanjutan.

Pameran tiga hari itu yang bermula pada Jumaat diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) dari 9 pagi hingga 6 ptg. Masuk percuma. -- Bernama