Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyokong keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 1 Ogos 2016 yang tidak membenarkan umat Islam melibatkan diri dengan aplikasi permainan Pokemon Go atas pelbagai faktor yang membawa kepada kemudaratan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha menerusi satu kenyataan yang dimuat naik ke laman Facebooknya hari ini.

“Keputusan tersebut adalah selari dengan pandangan hukum oleh negara-negara Islam lain yang telah membuktikan permainan Pokemon Go ini menjadi penyebab insiden yang membahayakan sehingga meragut nyawa.

“Permainan ini juga nyata mendatangkan kesan yang negatif kepada golongan kanak-kanak dan remaja,” tulisnya.

Oleh itu, Jakim menyeru umat Islam menghindarkan diri daripada permainan ini.

Tambah beliau, saranan ini juga selaras dengan kaedah syarak *Saddu Al-Zara'i dimana umat Islam perlu mencegah atau menyekat jalan yang boleh membawa kepada kerosakan dan kemudaratan kepada diri mereka.


Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menyatakan Pokemon Go tidak dibenarkan untuk umat Islam atas faktor 'maslahah' dan kemudaratan.

BACA: Demam Pokemon Go: 8 perkara yang anda perlu tahu